السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

17 November 2011

Sebut Harga Diri Sendiri

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.



Bebas menilai apa sahaja.

Orang ramai boleh menilai dan membuat andaian apa sahaja sesudah melihat raut wajah dan tubuh seseorang. Biasanya mengambil masa sesaat dua sahaja selepas ia melintasi kotak fikiran, kemudian mereka akan berkata sesuatu berkenaan suspek tersebut. Contohnya seperti menilai seorang graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian ijazah sarjana mudanya. Tafsiran mereka yang sudah mengenali graduan tersebut sebelum ini semestinya berbeza dengan mereka yang baru kali pertama melihat makhluk Allah itu di muka bumi ini. Pelbagai andaian dan tafsiran daripada orang yang berbeza-beza dapat diperolehi, sebagai contoh:


1. Ketika menghadiri program solat hajat untuk peperiksaan SPM dan PMR di salah sebuah sekolah, yang mana adik graduan tersebut akan menduduki peperiksaan besar pada tahun itu. Seorang bapa pelajar telah menghulurkan tangan untuk berjabat sambil berkata kepada graduan itu: “Dik, moga adik berjayalah ya dalam peperiksaan yang adik ambil nanti, adik ni periksa SPM ke PMR tahun ni?”

2. Sedang termenung jauh di dalam kereta, menunggu adik kecilnya keluar dari pintu gerbang sekolah, tiba-tiba ditegur sapa oleh seorang pakcik: “Anak awak yang nombor berapa sekolah sini, lelaki ke perempuan? Pakcik memang suka sangat tengok anak-anak kecil ni.”

3. Sedang mengendalikan kursus motivasi di salah sebuah sekolah, guru besarnya pula bertanya: “Abang tengah cuti ke sekarang?” Jawab hamba itu ringkas: “Baru saja tamat belajar”. Guru besar mengajukan soalan kedua: “Oh, jadi sekarang tengah tunggu keputusan SPM la ye? Eh bukan ke SPM baru saja mula?”

4. Seorang makcik pula menyapa dengan suara garau dan penuh semangat: “Eh awak ni yang tinggal dekat belakang tu kan, dah lama makcik tak nampak awak. Dah besarlah sekarang, mesti penuh ilmu di dada ni kan.” Satu lagi kategori tafsiran yang perlu dinilai semula barangkali. Samada memuji manis ataupun menegur sinis. Pandai pula makcik seorang ini menjaga hati, pengalaman orang kata.


Itulah sedikit sebanyak andaian yang mungkin boleh dibuat berdasarkan rupa yang dilihat oleh mereka. Yang jelasnya khilaf tafsiran antara mereka sudah mula dirasa sejak menilai luaran seseorang lagi, luaran yang serba nampak, tiada selindung. Biarlah mereka hendak menilai bagaimana, kerana itulah kemampuan otak masing-masing dalam menafsirkan apa yang dilihat oleh mata.

Pun begitu, ada pula yang cuba membaca hati manusia yang terselindung jauh di sanubari sana. Rancak pula mempersoalkan keikhlasan seseorang dalam melaksanakan ibadah. Pandai pula menjadi hakim agung, menentukan amalan si fulan ini diterima Allah, dan amalan si fulan ini tergantung, boleh tahu pula si fulan ini amalannya sia-sia, hanya dapat lapar dan dahaga sahaja contohnya.

Tetapi itulah yang perlu kita jaga, kadang-kadang kita sendiri yang terlupa dan terleka. Sibuk dengan mempersoalkan orang lain yang sedang rancak dalam rangka mendapat pahala, kita pula kosong tidak ke mana. Orang lain sudah masuk ke marhalah perdana, itulah kita yang sedang mengikat tali kasut, baru nak memulakan langkah pertama.

Bukan apa, cuma, perlu banyakkan melihat dan merenung pada diri kita sendiri. Kitalah yang paling layak menilai diri kita sendiri berbanding orang lain, baik yang zahir mahupun yang tersemat di dalam hati. Dekat atau jauhnya kita denganNya, seikhlas hatinya atau sekadar sahaja, sunnah Baginda Sallallahu Alayhi wasallam bagaimana pula, dan lain-lain ciri yang boleh dijadikan kayu ukur setinggi mana keimanan dan ketaqwaan kita terhadapNya.



Meletakkan label harga.

4 botol yang sama saiznya, tetapi harga setiap botol itu berbeza-beza. Bagaimana pula?

1. Botol yang diisi dengan air soya atau oren Mirinda barangkali, dijual untuk menghilangkan dahaga bagi pekerja-pekerja buruh yang kepenatan. Harganya RM2. Boleh dihabiskan isinya dalam masa 2-3 minit mungkin.

2. Botol yang diisi dengan kicap, manis ataupun masin. Dijual untuk menambah perisa dalam masakan, ataupun makanan yang dihidang. Harganya mungkin RM4 atau RM5 dan boleh dihabiskan dalam masa 2-3 minggu.

3. Botol yang diisi dengan madu. Ada yang membelinya untuk terapi kesihatan, ada juga yang menjadikannya sebagai minuman harian, dan segala macam tujuan. Harganya sebotol sekitar RM20, RM30, atau RM40. Boleh tahan agak lama, sebulan dua boleh jadi.

4. Botol yang diisi dengan minyak wangi ‘limited edition’, ataupun ‘special edition’. Dipakai untuk menghidupkan aroma yang tenang, aman dan damai. Harganya boleh mencecah ratusan. Jangka hayatnya pula, kalau hanya 2 titisan disapukan pada badan, boleh tahan 2-3 hari. Jadi hitunglah sendiri.


Begitulah sebut harga yang boleh kita letakkan pada keempat-empat botol yang sama saiznya, tetapi lain isi kandungannya, lain pula harganya.


Jadi, manusia pula bagaimana?

Maka tinggallah persoalan ini tanpa jawapan. Orang lain boleh menilai kita dengan hanya melihat luaran, tetapi tidak jauh hanya dapat mengukur usia, kecergasan, kekemasan diri dan apa sahaja yang boleh ditafsirkan melalui bentuk fizikal kita, itu pun kalau tepat, tepatlah ia. Masih tidak cukup syarat untuk menentukan harga sebenar diri seseorang itu. Parut di kepala mungkin orang boleh mengatakan dia seorang yang ‘gangster’, walhal mereka tidak pernah mengetahui bahawa parutnya itu adalah kerana semata-mata mempertahankan agama Allah yang Maha Esa.

Namun kekayaan hati, kemantapan iman, keikhlasan beramal, keluasan ilmu, ketinggian taqwa, itulah antara inti yang perlu ada dalam diri kita, untuk kita tentukan murah atau mahalnya diri kita terhadapNya.

Tepuk dada, tanya diri kita sendiri berapa harga diri kita sekarang, untuk kita berjual beli dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Renung-renungkan firmanNya, 2 ayat sahaja:



إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآَنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآَمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.” |Surah at-Taubah: 111-112|



Wallahu a’lam, wassalam.


Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |20 Zulhijjah 1432H|



2 comments:

azlanshah | nabeeskhan said...

Allah...termotivasi aku untuk terus 'berkhidmat'..

hazim said...

Bagi ana, enta da macam otol minyak wangi tu da.