السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

30 January 2009

Ikhtilaf Itu Satu Keluasan

oleh : amin al-bumbuni

Ikhtilaf, berbeza atau tidak sama merupakan sunnah alam. Manusia adalah sebahagian daripada alam. Oleh itu ikhtilaf adalah menjadi sifat manusia. Ikhtilaf atau tidak sama ini, atau kadang-kadang bertentangan, sebenarnya menatijahkan maslahat kepada manusia. Pertentangan positif dan negatif dalam arus elektrik menghasilkan pembakaran, pemanasan, atau pendinginan. Begitulah yang lain. Semuanya menjana maslahat kepada manusia. Ikhtilaf manusia dalam hukum fiqh juga membawa maslahat.

Sejarah menunjukkan para sahabat radiyallahu anhum juga berikhtilaf dalam melaksanakan perintah Rasulullah Sallahu alaihi wasallam. Arahan Baginda Sallahu alaihi wasallam supaya menunaikan solat Asar di Bani Quraizah telah ditafsirkan sahabat dengan dua penafsiran. 

لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة

Maksudnya : Tidak menunaikan seseorang itu solat Asar kecuali di Bani Quraizah. [1]

Ada yang berpendapat ia arahan yang tidak boleh diingkari dalam apa jua sekalipun, oleh itu bila waktu Asar masuk sebelum sampai di Bani Quraizah mereka tidak solat. Yang lain pula menafsirkan arahan itu bertujuan supaya mereka berjalan cepat agar sampai di Bani Quraizah pada waktu Asar atau sebelumnya. Oleh kerana waktu Asar masuk sebelum mereka sampai di Bani Quraizah mereka menunaikan solat Asar tersebut, tidak seperti kumpulan pertama.

Banyak lagi perkara-perkara yang menjadi ikhtilaf sahabat. Ikhtilaf ini tidak menyebabkan perkara yang negatif. Jika sahabat pada waktu itu pun sudah terdapat ikhtilaf, apatah lagi kita yang hidup pada waktu ini. Sebab itu Umar bin Abdul Aziz mengatakan beliau tidak gembira jika para sahabat tidak khilaf [2], sebab jika mereka tiada khilaf kemungkinan ada keadaan yang memaksa kita tidak mengikut pendapat mereka, ini akan membuatkan kita berdosa. Tetapi jika mereka ikhtilaf, dan kita memilih mana-mana pendapat mereka beerti kita mempunyai sahabat Rasulullah sallahu alaihi wasallam yang menjadi ikutan.

Setiap mujtahid akan merujuk pendapatnya atau ijtihadnya kepada nas syarak atau athar sahabat atau kepada maslahat yang bertunjangkan semangat syariat. Jika kita menerima mana-mana pendapat mujtahid beerti kita telah merujukkan pegangan kita kepada nas-nas tersebut. Ikhtilaf pendapat ini merupakan satu keluasan dalam agama islam itu sendiri. Setiap individu punyai kelapangan untuk memilih mana-mana pendapat yang menjana maslahat kepada diri atau masyarakatnya.

Ikhtilaf menjadi rahmat kerana ijtihad yang dibuat oleh semua pihak yang layak berijtihad adalah diiktiraf oleh Allah Azza wa Jal. Jika tepat ia peroleh dua pahala, jika tersalah ia akan peroleh satu pahala. Orang awam pula bebas untuk memilih mana-mana pendapat tersebut yang diyakini atau dikira dapat menjana maslahat.

Sabda Baginda Sallahu alaihi wasallam :

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya : Sekiranya seseorang hakim ingin menghukumkan sesuatu, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua ganjaran. Dan sekiranya dia ingin menghukum sesuatu maka dia berijtihad dan ijtihadnya salah, maka baginya satu ganjaran. [3]

Hakikat ikhtilaf jika disusun atur dengan baik dan sempurna akan menjana keindahan. Ia bukan suatu isu yang buruk dan negatif, kecuali ikhtilaf yang tidak disusun. Oleh itu, ikhtilaf ulamak sebenarnya merupakan satu keindahan dalam agama Islam. Bukan buruk dan hodoh.

Kenapa ta’sub?

Kenapa kita ta’sub kepada pendapat seseorang sahaja sedangkan semua ijtihad ulamak ini diterima Allah Subhanahu wa Taala. Kalau difikir sekali imbas sikap ta’sub kepada mana-mana imam mazhab contohnya, bukankah hal ini seolah-olah menunjukkan imam tertentu lebih bijak daripada Allah. Kenapa tidak, bukankah Allah telah menerima semua ijtihad mereka yang layak berijtihad, malah memberi satu pahala jika tersalah. Kenapa kita menolak yang Allah terima? Lebih bijakkah kita?

Dalam Islam, musyarri’e (مشرّع ) atau Al-Sultah al-Tasyri’iyah (السلطة التشريعية ) ( Kuasa Lagislatif ) ialah Allah Jalla Wa ‘Ala.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala pernah befirman :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Maksudnya : Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. [4]

Ingkar atau menolak hukum hasil ijtihad mujtahid bukanlah merupakan satu dosa atau kesalahan. Hanya ingkar kepada hukum Allah dikira maksiat dan bersalah. Oleh itu sifat ta’sub kepada pendapat mujtahid tertentu dan memaksakan pendapat itu ke atas orang lain seolah-olah menjadikan mujtahid itu sebagai musyarri’e. Hanya pendapatnya yang mesti diterima. Hal ini tidak sepatutnya berlaku.

Selagi pintu ijtihad dibuka kepada mujtahid, ikhtilaf pasti akan berlaku. Ia merupakan perkara tabi’e, keluasan, dan rahmat Allah.

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya : dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. [5]

Akhir kalam, semoga artikel ini dapat membuka minda kita sehingga kita dapat merasai nikmat-nikmat ibadah dan amalan yang kita lakukan. Sebelum itu ingatlah wahai teman-teman, kita bukanlah hendak permudahkan Islam, tetapi kita hendak kembali kepada agama Islam yang mudah itu…..

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya : Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. [6]

Sabda Rasulullah Sallahu alaihi wasallam :

(يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا) 

Maksudnya : Permudahkanlah, dan janganlah kamu susahkan. [7]


islam Pictures, Images and Photos

Sekian, Wallahu ‘alam, Wassalam.

Kita jumpa di sana!

 amin al-bumbuni
 4 Safar 1430H
 Segamat


________________________________

1. Soheh Bukhari Kitab Peperangan, Bab Kepulangan Nabi dari Perang Ahzab (3810)

2. Al-Qardhawi : (al-Sahwah al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum, Terj Pustaka Salam )

3. Hadith Amru bin Al-‘As, dikeluarkan oleh Bukhari (6805), Muslim (3240).

4. Surah Al-Ahzab : 36

5. Surah Al-Hajj : 78

6. Surah Al-Baqarah : 185

7. Muttafaqun Alaihi daripada Anas bin Malik Radiyallahu anh



26 January 2009

Solat Sunat Gerhana..Sanggupkah mengabaikannya?

oleh : amin al-bumbuni

   Sebaik sahaja selesai memberi salam kedua solat sunat ba’diyah isyak semalam, kedua-dua mata ini tertarik kepada papan kenyataan dalam tulisan jawi :

__________________________________________________ 
فرهاتين, فد هاري إثنين 26 جانواري, فوكول 5.30 فتغ, سوراو اين اكن مغاداكن صلاة سنة كرهان ماتهاري سجارا برجماعه. دهارف سموا فارا جماعه سيلا داتغ براماي2 برصلاة عصر دسوراو اين فد هاري ترسبوت دان سلفس صلاة عصر, إمام اكن ممبري تعليمات بركناءن جارا2 صلاة سنة كرهان ايت. سكيان هارف معلوم 

“Perhatian, pada hari Isnin 26 Januari, pukul 5.30 petang, surau ini akan mengadakan solat sunat gerhana matahari secara berjemaah. Diharap semua para jemaah sila datang beramai-ramai bersolat asar di surau ini pada hari tersebut dan selepas solat asar, imam akan memberi taklimat berkenaan cara-cara solat sunat gerhana itu. Sekian harap maklum."
_____________________________________________________

Begitulah catatan yang termaktub pada papan kenyataan surau. Sedar tak sedar, rupa-rupanya dunia kita ini akan melihat satu fenomena gerhana matahari pada hari ini (hari saya post artikel ini ) bi masyiatillah. Bercakap tentang gerhana matahari ini, apa sebenarnya ia? Bagaimana ia boleh berlaku?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer. 

  

Gerhana matahari boleh dibahagi kepada 3 iaitu gerhana penuh, gerhana separuh, dan gerhana analus. Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana analus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai'corona'. 

Gerhana matahari berlaku selama 7 minit 30 saat pada tempat yang paling lama. Ketika gerhana matahari, orang ramai dilarang melihat ke arah matahari secara langsung kerana ini boleh merosakkan mata dan mengakibatkan buta. 

Bagi mereka yang beragama Islam, mereka digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana. 


http://ms.wikipedia.org/wiki/Gerhana_matahari 

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Hukum Solat Gerhana

Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Irbid Jordan mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Muharram 1430, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku di Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana. 


Dalil Pensyariatan 
Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil daripada :

(1) Firman Allah Jalla Wa ‘Ala ;


لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”. [1]


   

(2) Sabda Baginda sallahu alaihi wasallam ;


إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ، يُخَوِّفُ اللهُ بِهِمَا عِبَادَهُ، وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنَ النَّاسِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئاً فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ 

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Allah menakutkan dengan keduanya akan hamba-hambaNya. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana dengan sebab kematian seorang dari manusia. Oleh demikian, apabila kamu melihat sesuatu darinya (yakni menyaksikan sesuatu terjadi pada matahari atau bulan itu), maka hendaklah kamu tunaikan solat dan berdoa kepada Allah sehingga habis gerhana itu”.[2] 
   
Tata-cara solat Sunat Gerhana

1. Tiada Azan atau Iqomat.


Hujahnya: Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqomah bagi solat gerhana [3]. Apa yang disunnahkan[4] ialah dengan bersuara kuat menyeru dengan seruan " Ash-Shalaatu Jaami'ah". Yang menjadi dalil bagi hal tersebut adalah apa yang ditegaskan dari Abdullah bin Amr ,dia berkata : "Ketika terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullahs.a.w diserukan : Innash Shalaata Jaami'ah" Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani.[5] 

2. Jumlah Rakaat adalah dua.

Solat sunat ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Ada dua kali sujud dan dua kali ruku’ pada setiap rakaat. Jadinya ada empat sujud dan empat ruku’ bagi solat sunat gerhana dua rakaat ini.


Cara: Semasa rakaat pertama selepas selesai membaca surah al-fatihah dan apa-apa surah dari Quran berdiri lama seketika sebelum ruku’, kemudian barulah ruku’. Bacaan semasa ruku' macam biasa, semasa ruku ini juga perlu ruku’ dengan lama. Kemudian berdiri semula, dan baca al-Fatihah lagi dan apa-apa surah dari Quran (yang sunnahnya jika pada berdiri pertama itu membaca surah yang panjang, dan berdiri yang kedua itu dibaca surah yang pendek sedikit dari yang pertama). Berdiri yang kedua ini tidak lama seperti berdirinya yang pertama, kemudian ruku’, dan ruku’ ini juga tidak lama seperti lamanya ruku’ pertama tadi. Bacaan tetap seperti biasa yang dibaca semasa solat fardhu.

Kemudian sujud seperti biasa iaitu dua kali sujud, cumanya disunnahkan memanjangkan sujud pertama dari sujud kedua. Setelah sujud, kemudian naik seperti mana rakaat pertama. Dan ulang kembali sepertimana yang dilakukan semasa rakaat pertama. Sehingga selesai solat sunat Gerhana. 


Dalilnya: 

Hadith dari Ibnu Abbas, dia berkata: 
"Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun berdiri dengan waktu yang panjang sepanjang bacaan surah Al-Baqarah. Kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang cukup panjang, lalu beliau bangkit dan berdiri dalam waktu yang lama juga (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang lama (ruku’ yang lebih pendek dari’ ruku pertama).

Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berdiri dalam waktu yang lama (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Seterusnya, beliau ruku dengan ruku yang lama ( ruku yang lebih pendek dari ruku pertama). Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berpusing, sedang matahari telah muncul. Maka beliau bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga karena kehidupan seseorang. Oleh karena itu, jika kalian melihat hal tersebut, maka berdzikirlah kepada Allah"

Shalat Pictures, Images and Photosdoa Pictures, Images and Photos


Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu di tempat berdirimu, kemudian kami melihatmu mundur ke belakang". Beliau bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya aku melihat Syurga, maka aku berusaha mengambil setandan (buah-buahan). Seandainya aku berhasil meraihnya, niscaya kalian akan dapat memakannya selama dunia ini masih ada. Dan aku juga melihat Neraka, aku sama sekali tidak pernah melihat pemandangan yang lebih menyeramkan dari pemandangan hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita". 

Para sahabat bertanya, "Kerana apa, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Kerana kekufuran mereka". Ada yang bertanya "Apakah mereka kufur kepada Allah?". Beliau menjawab. "Ertinya : Mereka kufur kepada keluarganya (suaminya), dan kufur terhadap kebaikan (tidak berterima kasih). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka sepanjang waktu, lalu dia melihat sesuatu (kesalahan) darimu, niscaya dia akan mengatakan : "Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikitpun darimu"
[6]

3. Mengeraskan suara (jahar) semasa solat sunat Gerhana.

Dalilnya: Dari Aisyah ra: Nabi s.a.w menjaharkan(mengeraskan) bacaannya dalam solat Gerhana. Jika selesai dari bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku’. Dan jika dia bangkit ruku’, maka beliau berucap : "Sami Allaahu liman Hamidah. Rabbana lakal hamdu". Kemudian beliau kembali mengulang bacaan dalam solat gerhana. Empat ruku dalam dua rakaat dan empat sujud."
[7]

Namun begitu, bagi solat gerhana bulan, bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperdengarkan dan bagi solat gerhana matahari, sunat diperlahankan bacaan sebagaimana solat-solat fardhu di waktu siang.
 


4. Solat Sunat Gerhana ini dilakukan secara Jamaah di Masjid 

Dalilnya: sebuah riwayat hadith dari Aisyah, dia berkata, "Pada masa hidup Rasulullah pernah terjadi gerhana matahari, lalu beliau pergi ke masjid, kemudian beliau berdiri dan bertakbir, dan orang-orang pun membuat barisan di belakang beliau.
[8] 
Solat sunat gerhana harus dilakukan bersendirian, namun disunatkan agar dilakukan secara berjamaah. Sunat mengajak orang ramai untuk melakukannya dengan melaungkan “
الصلاة جامعة” (Marilah tunaikan solat secara berjamaah).

5. Menyampaikan khutbah

Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang. Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah). 

Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. 

Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).

   
> wallahu a'lam
> amin albumbuni
> 29 Muharram 1430H
> Segamat


--------------------------------------------- 
[1] Surah Fussilat, ayat 37

[2] Dikeluarkan oleh Muslim, bab zikr An-nida bi solatil khusuf Assolatu Jami’atun. (1516)

[3] Fathul Baari (II/533) dan Masuu'atul Ijmaa (I/696)

[4] Syarhul Umdah, karya Ibnu Daqiqil Ied (II/135-136). Dan juga kitab Fathul Baari (II/533).

[5] Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab An-Nidaa bis Shalaati Jaami'ah fil Kusuuf (hadits no. 1045). Dan lafazh di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Dzikrun Nidaa bi Shalaatil Kusuuf : Ash-Shalaatu Jaami'ah, (hadith no. 910). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/178)

[6] Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatil Kusuuf Jama'atan, (hadits no. 1052), dan lafaz di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Maa 'Aradha Alan Nabi صلی الله عليه وسلم fii Shalaatil Kusuuf min Amril Jannah wan Naar, (hadits no. 907). Dan lihat kitab. Jaami'ul Ushuul (VI/173).

[7] Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, di antaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Al-Jahr bil Qiraa'ah fil Kusuuf, (hadits no. 1065) dan lafaz diatas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatul Kusuuf, (hadits no. 901). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/156). Takhrij hadith ini telah diberikan sebelumnya, tanpa memberi isyarat kepada riwayat ini.

[8] Al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya : Bab : Shalatul Kusuuf fil Masjid. Di dalamnya disebutkan hadith Aisyah رضي الله عنها di atas dengan riwayat yang didalamnya terdapat ucapannya : "Kemudian pada suatu pagi Rasulullah صلی الله عليه وسلم menaiki kendaraan, lalu terjadilah gerhana matahari. Kemudian beliau pulang kembali pada waktu Dhuha, maka beliau pun berjalan di antara rumah-rumah isteri beliau . (hadith no. 1056). 





24 January 2009

Kalaulah Aku Pelajar YP....

oleh : amin albumbuni



Kalaulah aku pelajar YP,
pasti aku tidak perlu bersusah-payah seperti sekarang,
pasti aku gembira melihat orang tuaku gembira,
tidak termaktub dalam dalam jadual hariannya,
untuk membelek setiap helaian akhbar.

Kalaulah aku pelajar YP,
pasti orang tuaku menyuruhku,
memberi sepenuh fokus kepada muqarrar,
tidak perlukan kekerapan pulang ke rumah,
untuk urusan ini.

Kalaulah aku pelajar YP,
sekurang-kurangnya pasti aku dapat penuhi,
sedikit keinginan diriku untuk memiliki,
sejumlah buku yang menarik di kedai-kedai,
persis rakan-rakanku yang lain,
buku-bukunya tersusun rapat pada raknya,tiada ruang.

Kalaulah aku pelajar YP,
pasti orang tuaku tidak perlu mencapai kacamatanya,
membaca surat-surat, mencongak penyata-penyata,
mungkin juga menjimatkan minyak motor posmen,
tidak perlu membuat u-turn, singgah ke rumahku,
dengan kekerapan yang tinggi.

Kalaulah aku pelajar YP,
pasti sasaranku tinggi,
berlari mengejar kelebihannya,
bukan melihat sahaja peluang ini,
pergi begitu sahaja,
malah ia mencari kita kemudian,
dengan daftar kata yang berlainan.
.................................
>artikel ini tiada kena-mengena antara hidup dan mati
>hanya sekadar cubaan menjana ayat
amin al-bumbuni
27 Muharram 1430H
Segamat


20 January 2009

Isu Palestin : Ayuh Berdoa dan Berqunut Nazilah!

oleh : amin al-bumbuni
Bismillahi Ar-Rahmani Ar-Rahim...
.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ
عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ-1

Maksudnya : Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku(2) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina."

Tahun 2009 dan tahun 1430H pada kali ini membuka tirainya dengan penuh dramatik apabila rejim zionis dengan tiada belas kasihannya menggempur Gaza seperti binatang yang sedang kelaparan. Yahudi laknatullah terus-menerus membedil Palestin tanpa menghiraukan penunjuk-penunjuk perasaan di seluruh dunia, arahan-arahan kuasa besar malah PBB sendiri, tempat-tempat awam bahkan masjid kita umat Islam juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran bom mereka dan lain-lain.

Kita sebagai umat islam bukan sahaja menghadapi masalah seperti ini pada hari ini, bahkan sudah lama kita menghadapi masalah yang sangat besar ini dari dahulu lagi sehingga ia berlanjutan ke hari ini, masalah yang tidak akan selesai sekiranya tiada perubahan efisyen dilakukan oleh umat Islam. Setiap hari darah yang ditumpahkan ialah darah umat islam sendiri.
palestin 3 Pictures, Images and Photos

Bom-bom dan peluru-peluru zionis tidak pernah mengenali siapakah mereka golongan kanak-kanak, kaum wanita, orang-orang awam, tempat kediaman dan tempat ibadat. Golongan-golongan ini setiap hari dibunuh dengan kejam dan zalim. Apakah dosa-dosa mereka? Siapakah yang lebih berhak menduduki Palestin?

Tidak berminat untuk mengulas lebih panjang, cuma diri yang serba kerdil ini ingin sekali mengajak teman-teman berqunut nazilah pada setiap solat kita. Mungkin bagi sesetengah orang amat berat bagi dirinya untuk memboikot produk-produk AS dan Israel kerana sudah berpengalaman menggunakannya dalam kehidupan seharian. Tetapi pada masa kini, ramai ulamak telah memberi kata WAJIB untuk memboikot barangan tersebut. Apa yang hendak ditekankan di sini adalah sekurang-kurangnya kita wajib berdoa untuk kesejahteraan rakyat Palestin di sana. Ayuh kita berqunut nazilah dalam setiap solat kita.

Sepatutnya kita sudah pun lama beramal qunut nazilah ini. Maka oleh kerana kita ketinggalan, ayuh kita hidupkan semula sunnah ini. Lebih-lebih lagi kita rakyat Malaysia, dah la kita tidak dapat buat apa-apa maka marilah kita lakukan qunut nazilah, qunut yang dibaca apabila kita mghadapi bala’, serangan musuh, kejahatan, kekejaman. Nabi Sallahu alaihi Wasallam pernah melakukan qunut ini selama sebulan. Nabi berdoa agar Allah Subhanahu Wa Taala mengambil tindakan ke atas Ri’il, Zakwan dan 'Usaiyyah. Mereka ada perjanjian dengan Nabi Sallahu alaihi Wasallam. Maka Nabi Sallahu alaihi Wasallam pun menghantar utusan kepada mereka (ada pendapat mengatakan 40 orang dan ada juga yang mengatakan 70 orang, dan mereka adalah dari kalangan Qurro’).Lalu mereka khianat dan membunuh utusan Nabi Sallahu alaihi Wasallam. Nabi Sallahu alaihi Wasallam marah dengan peristiwa itu lalu berdoa meminta Allah Azza Wa Jal mengambil tindakan terhadap mereka.

Di sini saya sertakan antara matan hadith (bahasa Arab) yang berkenaan dengan agenda artikel ini. Antaranya ialah :

حديث أَنَسٍ عَنْ عَاصِمٍ، قَالَ: سَأَلْتُ أَنَسًا رضي الله عنه، عَنِ الْقُنُوتِ، قَالَ: قَبْلَ الرُّكُوعِ فَقُلْتُ: إِنَّ فُلاَنًا يَزْعُمُ أَنَّكَ قُلْتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ فقال: كَذَبَ؛ ثُمَّ حَدَّثَنَا عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، أَنَّهُ قَنَتَ شَهْرًا بَعْدَ الرُّكُوعِ يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ قَالَ: بَعَثَ أَرْبَعِينَ أَوْ سَبْعِينَ (يَشُكُّ فِيهِ) مِنَ الْقُرَّاءِ إِلى أَنَاسٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ، فَعَرَضَ لَهُمْ هؤُلاَءِ، فَقَتَلُوهُمْ؛ وَكَانَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَهْدٌ، فَمَا رَأَيْتُهُ وَجَدَ عَلَى أَحَدٍ مَا وَجَدَ عَلَيْهِمْ-3


وقال شعبة عن قتادة عن أنس أن النبي صلى الله عليه وسلم قنت شهرا يلعن رعلا وذكوان ولحيان لعن المنافقين في القنوت

حديث أَنَسٍ رضي الله عنه، قَالَ: بَعَثَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سَرِيَّةً يُقَالُ لَهُمُ الْقُرَّاءُ، فَأُصِيبُوا، فَمَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَجَدَ عَلَى شَيْءٍ مَا وَجَدَ عَلَيْهِمْ، فَقَنَتَ شَهْرًا فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ، وَيَقُولُ: إِنَّ عُصَيَّةَ عَصَوُا اللهَ وَرَسُولَه-4


Apabila Nabi Sallahu alaihi Wasallam mahu berdoa agar Allah Azza Wa Jal mengambil tindakan tehadap seseorang, atau meminta Allah memberi pertolongan kepada seseorang, maka Nabi Sallahu alaihi Wasallam akan berqunut selepas rukuk pada rakaat akhir.

Maka ayuh wahai teman-teman, marilah berqunut nazilah, berdoa meminta Allah Subhanahu Wa Taala mengambil tindakan kepada kuasa-kuasa besar yang zalim ini.


Doa Qunut Nazilah

اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم
اللهم بَدِّد شَملَهُم و فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم
وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباَ
مِن كِلاَبِكَ يا قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم يا الله يا الله يا الله
اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ
إِهزِمهُم إِهزِمهُم إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka,
Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,
Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.
Ameen…!
  • Banyak lagi doa-doa yang ma'thur di mana kita boleh amalkannya ketika qunut, tidak semestinya doa di atas sahaja. Sekurang-kurangnya boleh juga sekadar berdoa :



اللهم انصر الإسلام والمسلمين والمجاهدين في كل مكان وكل زمان



Jadi, renung-renungkan dan selamat beramal....

> sekian untuk kali ini.
> kita jumpa di sana, insya-Allah
> wassalam

amin al-bumbuni
23 Muharram 1430H
-segamat

------------------------------------------------------------------
1. Surah Al-Ghaafir : 60
2. Yang dimaksud dengan menyembah-Ku di sini ialah berdoa kepada-Ku.
3. Dikeluarkan oleh Bukhari, Kitab Jizyah, Bab Doa Imam ke atas orang yang mengingkari janji.
4. Dikeluarkan oleh Bukhari, Kitab Doa, Bab Doa ke atas kaum musyrikin.