السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

24 December 2009

Gener8 di Jordan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Azza Wa Jal. Baru-baru ini, 22 Disember 2009, pihak Jabatan Penuntut Jordan (JPM), Majlis Perwakilan Pelajar Mahasiswa Jordan (MPPMJ) dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) telah menjayakan program Malaysia Day di Dewan Al-Kindi Universiti Yarmouk, Jordan. Program yang bertemakan "Malaysia Truly Asia" mendapat sambutan hangat daripada warga Irbid terutama mahasiswa-mahasiswi universiti tersebut termasuklah warga Arab, mahasiswa-mahasiswi Jordan University of Science & Technology (JUST) dan tidak lupa juga mahasiswa-mahasiswi yang datang dari Mafraq, Mu'tah dan Amman.

Semua mahasiswa Malaysia dengan semangat negeri masing-masing, berbekalkan 1001 ragam budaya yang ada di Malaysia, mempamerkan adat tradisi, seni binaan, dan seni tarian negeri masing-masing. Johor dengan model kuda kepang dan tarian zapinnya, Kelantan dengan dikirnya, Melaka dengan model tangga rumahnya yang unik, Sarawak dengan rumah panjang kebanggaannya, Pulau Punang dengan model jambatannya, Kedah dengan jenis-jenis beras yang ada, serta pelbagai lagi pameran yang terdapat di booth setiap negeri.

Bagi mahasiswa Malaysia di Jordan yang amat merindui makanan tanah air tercinta, pada waktu inilah masa yang sesuai untuk melepaskan rindu tersebut dengan menikmati sepuasnya juadah yang selama ini hanya pendaman di dalam hati. Terdapat pelbagai jualan makanan yang mana mencirikan 'trademark' negeri masing-masing di  gerai-gerai yang disediakan. Warga Arab juga tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk 'memanaskan' lidah mereka dengan merasai kekayaan dan kepelbagaian makanan yang terdapat di Malaysia.

Namun begitu, apa yang membuatkan aku dan rakan-rakanku bertambah ceria dan gembira dengan program ini, amat berkait rapat dengan gambar di bawah, di mana tanpa dirancang telah terbentuknya satu 'mini reunion' generasi ke-8 Sek Men Islam Hidayah (Gener8) yang belajar di Jordan semasa Malaysia Day ini berlangsung, di salah satu koordinat Dewan Al-Kindi yang dirahsiakan, huh. Mini reunion ini secara tidak langsung menyerikan lagi tentatif program kami. Saat inilah yang membawa kepada kemuncak kegembiraan kami...

Syah, Nuh, Azlan, Amin, Siddiq dan Hilal


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara... (Al-Hujurat:10)


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى عُضْوٌ مِنْهُ ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالْحُمَّى وَالسَّهَرِ

Rasulullah Sallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin pada belas kasihan mereka, cinta mereka, dan simpati mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota mengadu, maka seluruh anggota akan merasai demam dan (berjaga malam). (Muttafaqun Alayh)


Moga ikatan ukhuwah ini terus berkekalan hingga ke akhirnya..

Kita jumpa di sana....

> amin albumbuni.

> Syari' Jamiah, Irbid, Jordan.



19 November 2009

Cerita Aku dan Rakan-Rakan : Pencuri Masa

Assalamualaikum...

Jam di Irbid Jordan sekarang dah menunjukkan pukul 11.37pm. Kalau dalam kiraan, malam sudah pun matang pada waktu ini, boleh dikatakan sedang masuk fasa bertukar kepada siang. Saat ini, pasti ramai yang sudah pun menyahut panggilan manja 'hiram' masing-masing. Adapun yang belum tidur, sekaranglah masa sesuai untuk bercadang berbuat demikian. Tapi tidak dengan aku, aku baru mencelikkan mata setelah berehat keletihan. Kenapa terlalu letih hari ini. Mungkin akibat daripada pengasahan minda mencari angka yang tepat dalam menjawab soalan esei exam Tanmiah Iqtisodiyyah tadi. Atau mungkin juga terlebih muatan dalam pengisian jasadi di rumah Ust Din tadi, terlalu enak masakannya, sesekali mengunyah terasa seperti di tanah air, 1Malaysia.

Pada saat ini juga, aku masih belum memulakan pembacaanku untuk exam esok, madah Asalib Bahas. Entah mengapa aku dan rakan-rakanku seperti tiada perasaan dan rangsangan yang serius apabila mendengar perkataan ‘exam’. Haa itulah akibatnya selalu study last minute. Kalau esok ada exam, malam ni baru lah kelam-kabut mencari sampel-sampel soalan, mencari nota-nota dan ada yang baru hendak membuang lipas-lipas yang sedang rancak bermain sembunyi-sembunyi pada helaian buku dan nota. Kemudian masing-masing menjadi seperti lipas yang terperangkap di dalam peti ais, mencari tempat yang sesuai untuk berhibernasi dan memulakan study. Ada yang tanpa suara, dan ada pula seperti berada di dalam studio, berbagai ragam.

                          

                                                          Masing-masing 'pulun' study

Itulah tabiat kami semenjak duduk sekali di rumah sewa kami yang dirindui di Indera Mahkota, Kuantan satu masa dahulu. Nak kata kami study untuk exam pun, agak tidak sesuai juga, sebab kami pun sudah lama ada kesedaran, huh. Tetapi itulah cerita kami. Teringat lagi salah satu kata-kata hikmah yang aku pelajari pada zaman muda-muda dulu, waktu zaman ‘SPM’, cuma belum sempat diaplikasikan sepenuhnya lagi, iaitu:

 

التأجيل لص الزمان

“Tangguh itu pencuri masa”

 

Moga kami diberi hidayah dalam usaha untuk tadabbur kata-kata hikmah ini.

“Ya Allah, berikanlah aku dan rakan-rakanku kekuatan untuk menghabiskan semua nota-nota dan silibus yang patut dibaca. Permudahkan aku dan rakan-rakanku dalam menjawab peperiksaan esok, Ameen”

Banyak tu kena baca. (m/s 7 – 44 + m/s 63 – 85 + nota tausiq).

Wallahu A’lam, Wassalam.

 

Amin al-Bumbuni.

Syarie’ Jamiah, Irbid, Jordan.



08 November 2009

Serlahkan bakatmu!

Assalamualaikum teman-teman..

Inilah ‘posting’ pertama saya selepas sebulan lebih keberadaan tubuh dan semangat saya di bumi Jordan ini. ‘Posting’ kali ini pun tidaklah saya ingin berbicara panjang tentang sesuatu. Cuma suka saya di sini untuk berkongsi dengan anda semua sebuah video yang menarik perhatian saya. Anda juga boleh menontonnya di youtube. Selain taajub dengan kepetahannya, harap juga kita dapat mengambil noktah-noktah penting dalam pesanan dan nasihatnya yang dituju khas untuk muslimin dan muslimat semua.

Barangkali ada di antara ibubapa yang menangis dan kecewa kerana ketidaklayakan anaknya menyertai program realiti seperti Bintang Kecil, Tom Tom Bak atau seumpamanya. Bukanlah mereka menangis dan bersedih kerana anaknya tidak dapat menghafaz al-quran, mendalami ilmu agama, mengasah bakat untuk menyampaikan mutiara kepada masyarakat. Masyarakat yang sekarang ini menyerah kalah dengan budaya dan tamadun barat. Cuma dalam kelalaian dan kegelapan masing-masing, mujur masih ada di sana suluhan cahaya dan kesedaran. Moga thabat.



Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya.

Wallahu a’lam, wassalam.



19 September 2009

Salam Lebaran


Assalamualaikum...

Tahniah kepada anda semua
Tahniah kerana menghabiskan puasa
Tahniah kerana tahan lapar dan dahaga
Tahniah kerana mengerti perasaan mereka yang menderita
Tahniah kerana menundukkan nafsu dan menguatkan jiwa
Tahniah kerana banyak bersabar sepanjang puasa
Tahniah kerana memberi makan orang yang berpuasa
Tahniah kerana bersedeqah kepada faqir yang merana
Tahniah kerana tidak mengumpat atau mengata
Tahniah kerana jaga mulut dan mata
Tahniah kerana tidak bohong dan berdusta
Tahniah kerana solat jemaah di masjid bersama
Tahniah kerana tidak terlepas solat subuh di masjid sepanjang bulan puasa
Tahniah kerana malaikat-malaikat menurunkan sayapnya
Tahniah kerana tarawih dengan sempurna
Tahniah kerana tidak tinggal witir satu rakaat atau tiga
Tahniah kerana qiyamulail di malam buta
Tahniah ketemu lailatul qadar penghapus dosa
  Tahniah kerana doa anda diterima Allah Taala
Tahniah kerana mengerjakan umrah di bulan puasa
Tahniah kerana tadarrus al Quran petunjuk bagi manusia
Tahniah memahami ayat-ayat dan makna-makna
Tahniah kerana sudah mencapai matlamat menjadi orang yang bertaqwa
Tahniah kerana tamat Universiti Ramadan dengan

Ijazah Kelas Pertama !



11 September 2009

the Night of Al-Qadr

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)



(1.Verily, We have sent it down in the Night of Al-Qadr.)

(2. And what will make you know what the Night of Al-Qadr is)

(3. The Night of Al-Qadr is better than a thousand months.)

(4. Therein descend the angels and the Ruh by their Lord's permission with every matter.)

(5. There is peace until the appearance of dawn.)




Daripada Abu Hurairah Radiyallahuanhu, Rasulullah Sallahu Alayhi Wasallam bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ،

وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 


“Barangsiapa mendirikan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan rela (mengharapkan pahala/keredhaan Allah), nescaya diampunkan segala dosanya yang terdahulu. Dan sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan rela (mengharapkan pahala/keredhaan Allah), nescaya diampunkan segala dosanya yang terdahulu.

(HR Imam Bukhari, kitab puasa, bab: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan iman dan mengharapkan pahala, no:1901, Imam Muslim no:1268)



Ayuh carilah Lailatul-Qadr....


26 August 2009

Peluang: INCEIF tawar 70 biasiswa ikuti kursus sarjana, PhD

Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) ditubuhkan inisiatif Bank Negara Malaysia, menawarkan 70 biasiswa mengikuti pengajian sarjana dan doktor falsafah (PhD) bagi sesi pengambilan 2010.

Daripada jumlah itu, masing-masing 35 biasiswa untuk pelajar tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Akademiknya, Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi, berkata selain biasiswa, pelajar layak juga akan diberikan elaun RM2,200 sebulan selama setahun daripada tempoh pengajian satu tahun setengah.

Sambil menjelaskan tempoh pengajian itu termasuk latihan industri di bank tempatan menawarkan perbankan Islam, bursa saham, dan syarikat takaful, beliau berkata;

“INCEIF bertaraf universiti ini adalah tempat terbaik graduan ijazah pertama menukar bidang jika berminat dengan sektor berkaitan kewangan Islam.”

“Kami menerima lulusan pelbagai bidang dengan syarat mereka mendapat kelas pertama atau kedua tinggi dan penguasaan bahasa Inggeris sangat baik.”

“Walaupun ia kursus yang agak sukar, dengan pemilihan pelajar baik dari dalam mahupun luar negara, saya yakin universiti ini mampu menghasilkan profesional bidang kewangan Islam dan pulangannya pula sangat berbaloi.” 

                                   


Sebagai contoh, Syed Othman berkata, kohort pertama konvokesyen Februari lalu membabitkan 32 graduan Certified Islamic Finance Professional (CIFP), ada antara mereka dibayar gaji mencecah RM10,000 sebulan selepas memiliki Sijil Kepakaran Kewangan Islam itu.

Beliau berkata, pengajian sarjana dan PhD di INCEIF agak unik kerana tiada universiti lain di dunia termasuk yang tertua memperkenalkan banyak kursus pascaijazah.

“Kami mempunyai lebih 20 kursus berkaitan pengajian kewangan Islam dan bagi peringkat sarjana, pelajar perlu mengambil sekurang-kurangnya 13 kursus dengan projek.”

“Antara kursus yang perlu diambil ialah Syariah, Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Pasaran Modal Islam, Pengurusan Portfolio, Metodologi Penyelidikan, Takaful dan Pengurusan Harta.”

“Di sini tiada ijazah pertama, walaupun CIFP namanya sijil profesional, ia sebenarnya sama taraf dengan sarjana di tempat lain dan pelajar boleh terus mengambil PhD sama ada melalui penyelidikan atau kerja kursus dan disertasi,”katanya.

Mengenai kelebihan sektor kewangan Islam berbanding konvensional, katanya, ia bidang baru paling cepat berkembang di dunia dan ramai bukan Islam menunjukkan minat menyertainya.

Beliau berkata, antara syarikat kewangan turut menghantar kakitangan mengikuti pengajian sepenuh masa di pusat itu ialah Maybank, CIMB, EON Bank, Affin Bank dan syarikat takaful.

“Kini kami mempunyai lebih 1,400 pelajar dan untuk CIFP saja lebih 1,200 dari seluruh dunia. Keterangan lanjut mengenai pengajian di sini, layari www.inceif.org,”katanya.

Sumber: Berita Harian, Selasa 25 Ogos 2009, Pendidikan, m/s 15.



05 August 2009

Malaysia antara negara awal pulih daripada kegawatan


Malaysia dijangka menjadi antara negara awal di rantau ini yang akan pulih daripada kegawatan ekonomi, kata bekas pakar kewangan Bank Dunia, Ismail Dalla.

Ismail yang kini pensyarah Pelawat, Fakulti Perniagaan, Universiti George Washington, berkata negara ini bakal menyaksikan pertumbuhan posotif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seawal suku ketiga dan keempat tahun ini ekoran peningkatan semula eksport global.

                                                

“Buat masa ini, pertumbuhan positif itu dijana peningkatan eksport khususnya dari China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Ketika ini secara umumnya, firma di negara berkenaan khususnya syarikat elektronik sedang mengumpul inventori bagi persediaan menjelang musim perayaan hujung tahun ini,” katanya selepas menyampaikan syarahan awam mengenai Pasaran Pendapatan Tetap Malaysia Dalam Konteks Pasaran Bon Global di Kuala Lumpur, semalam.

Syarahan umum dianjurkan Fakulti Pengurusan Lepasan Ijazah (GSM) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan RAM Holdings Bhd.

Hadir sama Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah dan Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan RAM, Wong Fook Wah.

Ismail menambah, berdasarkan petunjuk semasa termasuk peningkatan inventori dan keyakinan penggunaan, ekonomi AS dijangka mampu kembali menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun depan.

Katanya, negara ekonomi baru muncul seperti Malaysia akan meraih manfaat pemulihan negara ekonomi terbesar dunia itu.

“Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan KDNK positif menjelang hujung tahun ini seperti diunjurkan kerajaan,” katanya.

Ismail, bagaimanapun berkata, untuk negara ini kembali mencatat kadar pertumbuhan tinggi iaitu lebih lima peratus, maka model ekonomi negara harus dikaji semula supaya tidak terlalu bergantung kepada eksport.

“Perubahan dan pengubahsuaian ekonomi bukan perkara mudah, namun ia memberi manfaat besar jangka panjang,” katanya.

Sumber : Berita Harian, Selasa 4 Ogos 2009 (Ekonomi : ms 20)



30 June 2009

Permaisuri Sehari Bumbun

Assalamualaikum..

Tanggal 28 Jun 2009, rumah NO 1B Kampung Bumbun, Segamat menjadi tumpuan ramai apabila hak tanggungjawab salah seorang penghuni rumah tersebut, Salihah Bt Khidzir yang pada mulanya dimiliki penuh oleh abahnya Khidzir Bin Talib dipindahkan pemilikannya kepada Firdaus Bin Mahadzir dengan satu akad dan persetujuan oleh kedua-dua belah pihak.

Berikut disertakan foto-foto pada hari tersebut, selamat menonton!


Selamat Pengantin Baru Kaklong!

Aik, siapa yang nak kahwin ni..!!?? Abah, dah minta izin mak ke belum?!

coming soon... tapi ada 2 orang lagi, tak boleh langkah bendul.

 

ramai jugak!


malu tapi mahu..

Makan tisu je ke, hehe..

Keluarga besar yang semakin membesar.

Siapa yang dapat pandang kamera tu memang hebat la, sebab banyak sangat orang ambil gambar waktu ni, maklum la...

Inilah dia orang besar Segamat kita, mesra rakyat, heh...

Sudah sudah la tu..

Slot yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak ribena..

Rehat sebentar bersama orang kuat, banyak berjasa tu...

Kerusi satu lagi masih kosong...


Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Agung yang telah mencipta qadha' dan qadar ini. Kami pohon restu dan keredhaanMu, jadikanlah ikatan ini selamanya diberkati olehMu agar sentiasa dilimpahi dengan keimanan dan kasih sayang. Peliharalah ia semoga ianya akan berkekalan dengan rahmatMu.

Ameen Ya Rabbal 'Alameen..


Wallahu A'lam. Wassalam.




20 June 2009

kembali.....

Assalamualaikum teman-teman semua..

 

Apa khabar semua? Moga sentiasa dalam keadaan sihat di samping menjalani ibadah kepada yang Maha Pencipta. Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah, akhirnya dapat juga saya membuka pintu rumah yang usang ini selepas bertarung dengan laptop + internet yang mengalami kerosakan abdomen dalaman mereka yang teruk sehingga menjejaskan kesihatan,huh. Dah hantar servis pun, masih rosak lagi, rasa rugi pula bayar RM50 untuk format baru, tiada juga jalan penyelesaian ditemui, buntu.

 

Sejurus itu, saya mengambil inisiatif untuk menggunakan kaedah cuba-cuba (baiki sendiri) @ try n error dengan mengambil sumber-sumber dan tips-tips dari internet, bukan pengalaman ya.. Alhamdulillah, setakat ini ada juga sedikit perubahan. Kalau sebelum ini, buka laptop dalam 5-10 minit sahaja dah tersekat-sekat dan secara rela hati laptop ini akan memadamkan dirinya sendiri tanpa tuannya bersusah payah menekan butang ‘shutdown’, hebat bukan! Tapi sekarang pula, buka laptop dalam 5-10 jam tu, ada la dalam sekali dua peristiwa berulang.


                                     

 

Dalam kita menempuh saat-saat begini, apa yang penting kalau ditanya WonderPet tentulah kerjasama. Tetapi apa yang nak ditekankan di sini adalah perlu bagi kita untuk banyak bersabar, teruskan usaha, jangan cepat berputus asa, teruskan berdoa dan yang paling penting berbaik sangkalah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala setiap masa.

 

Ada kalanya kita berdoa, Allah Azza Wa Jal lantas sahaja memakbulkan permintaan itu. Ada kalanya kita berdoa, tetapi hanya dimaklbulkan lewat sedikit daripada apa yang kita mahukan. Dan terkadang juga doa kita sama sekali tidak dimakbulkan Allah, namun jangan sekali pun pernah kita berburuk sangka terhadap-Nya. Semua itu ada hikmahnya tersendiri samada tersurat mahupun tersirat di sebalik yang tersurat. Hanya Allah mengetahui dan sudah pasti Dia akan memberi yang terbaik untuk hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya.

 

Kalau orang yang mudah sangat berputus asa, lebih-lebih lagi dari golongan yang berada, sudah tentu perkara begini tidaklah menjadi satu masalah bagi beliau dan tidak perlu berfikir panjang bagi memulakan survey baru untuk menghazafkan yang qadim (masih dalam bab laptop @ komputer rosak), sungguh mudah. Janganlah kita terlalu mudah berputus harapan dengan sesuatu ujian. Janganlah meletakkan pilihan berputus asa tersebut sebagai pilihan pertama kita. Perlu juga kita melihat akan firman-Nya dalam Surah Yusuf ayat 87:

 

وَلاَ تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لاَ يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya : " ..... dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. "

 

Habis dah bab laptop.

Setelah hampir sepurnama tidak membuka kunci rumah usang ini, if I not mistaken last open masa di ambang imtihan niha’ie yang bermula 20 Mei lepas, ramai juga tetamu yang memberi salam dan menyinggah rumah ini, maaf kerana tidak sempat menyediakan secawan kopi untuk anda. Halaman ini masih dalam proses baik pulih, sebarang kesulitan amat dikesali.

Marilah bersama-sama kita menggunakan medium ini untuk mendekatkan lagi diri kita terhadap pemilik diri iaitu Allah Azza Wa Jal. Janganlah ia disalahguna. Setiap perlakuan dan perbuatan kita walaupun yang tersembunyi tidak sunyi melainkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengetahui akan apa yang kita lakukan.

Ayuh bangunkan hati yang lenguh, sedarkan fikiran yang liar, dan kuatkan semangat yang lemah. Zaman dunia di hujung jari, hanya klik pada tetikus untuk segalanya, akal dan nafsu, kadar keupayaan kawalan menjadi pemisah antara seseorang. Timbalah ilmu sebanyak mungkin, kumpullah manfaat dan amalkanlah ia sebagai bekalan kita akhirat kelak dan sebagai tanda kesyukuran kita terhadap Allah Jalla Wa ’Ala.

Wallahu a'lam, wassalam.

 

Ø  Amin albumbuni

Ø  Kg Bumbun, Segamat, Johor

Ø  27 Jamadilakhir 1430H / 20 Jun 2009

 



04 May 2009

Jom kawan-kawan!

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Hari ini lembaran baru,

Senja semalam telah berlalu,

Meninggalkan jahiliyyah beribu batu,

Melangkah pasti ke hadapan maju…


Jalanan kaca itu terus disusuri,

Mengeja jerih pengorbanan diri..

Tapi…janji Tuhan itu pasti.


Ingatkah anda apabila anda setuju, anda sedih

melihat ummah pilu terukir,

Menyentap diri sukar disingkir…


Ingatkah anda apabila…anda bersetuju

untuk melakukan….SESUATU….

bantuan dihulur kepada yang perlu..


Adakah anda masih ingat…

Anda setuju melakukannya…

Dengan memahami…ISLAM…

Dan membina individu…MUSLIM..


Siapakah pembela-pembela agama Allah?

Adakah anda hanya ingin menonton…

Atau menjadi pendokong…

Jawapan ada pada ANDA…


"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang". (As-Shaff : 14)