السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

11 February 2009

Antara 'Basyir' (Berita Gembira) dan 'Nazir' (Berita Amaran)

Setiap Rasul diutuskan sebagai pembawa berita gembira (basyir) dan pemberi peringatan (nazir) kepada manusia. Menyampaikan berita gembira kepada mereka yang taat melakukan ibadat dan memberi peringatan dan amaran kepada mereka yang melanggar perintah Allah. Ini jelas diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran Surah Fathir: 24.

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِنْ مِنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Maksudnya : Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran* sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.

*Kebenaran yang dimaksudkan di sini adalah agama tauhid dan hukum-hukumnya.

Sebagai perutusan Allah, para Rasul mempunyai kebijaksanaan dalam berdakwah bagi menangani karenah masyarakat pada zaman itu. Mereka bijak menggunakan sama ada pendekatan 'basyir' atau 'nazir' terhadap umat yang mereka seru.

Kepada mereka yang terlalu 'khauf' dan kuat melakukan ibadat kerana takut kepada azab Allah, para Rasul memberikan berita gembira tentang syurga dan keseronokannya. Dengan cara ini, mereka berasa tenang, gembira dan tidak terlalu khauf tentang azab Allah. Para rasul adalah pakar motivasi dan kaunselor yang memberikan ketenangan jiwa kepada umatnya.

Sebaliknya kepada mereka yang ingkar dan kufur kepada Allah, para Rasul memilih pendekatan 'nazir' iaitu menyampaikan berita seksa dan pembalasan azab yang amat sangat di neraka. Dengan cara ini, mereka akan mengetahui kesalahan yang mereka lakukan dan betapa pedihnya azab Allah jika amalan itu diteruskan. Akibatnya mereka akan bertaubat dan mula mentaati Allah.

Sungguhpun begitu adakalanya Rasul menggunakan kombinasi 'basyir' dan 'nazir' bergantung kepada keadaan orang yang didakwah.

Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh para rasul ketika berdakwah. Mereka yang terlalu 'khauf' digembirakan dengan berita syurga dan yang terlalu 'ingkar' diancam dengan berita neraka. Begitu juga tentang hukuman bagi pesalah dirujuk pada Al-Quran tanpa memilih kasih. Masyarakat sekarang dilanda pelbagai penyakit sosial.

Mereka perlu diberi rawatan dengan resepi perubatan yang mujarrab sesuai dengan penyakit yang dihadapinya. Kenapa penyakit masyarakat semakin menjadi walaupun pelbagai pendidikan dan program telah diperkenalkan. Jawapannya mungkin adalah kerana penyakit lain ubat yang diberi pula lain. Secara tegasnya, lain sakit lain pula ubatnya. Untuk mengubati penyakit, kita perlu mengetahui puncanya. Punca penyakit masyarakat masa kini ialah hilangnya perasaan khauf dan meluasnya perasaan buasnya di dalam jiwa.

Berdasarkan huraian di atas, penyampaian bagaimanakah agaknya yang sesuai untuk golongan tersebut? Mungkin agak tepat untuk mengatakan jawapannya adalah dengan memberikan ancaman dan amaran tentang balasan dan azab yang bakal diterima di neraka. Pendekatan 'basyir' mungkin tidak sesuai bagi mereka pada masa kini.

Dalam Islam tiada kompromi tentang hukuman dan hudud. Hukum-hakam dalam Islam tidak berubah walaupun masa telah berubah. Hukuman berzina, mencuri misalnya tetap sama seperti hukuman yang dikenakan semasa zaman Nabi. Agama Islam telah lengkap dan tak perlu diubahsuai atau ditokok tambah. Demikian besarnya peranan yang perlu dimainkan untuk mengatasi masalah sosial yang semakin meruncing dewasa ini.

Bahkan itu, seorang yang bernama da’ie haruslah menyampaikan dakwahnya secara hikmah dan bijaksana sejajar dengan firman ‘Azza wa Jal dalam surah An-Nahl ayat 125 :

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya : Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah* dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

*Hikmah di dalam ayat tersebut memberi maksud perkataan yang tegas dan benar yang dapat membedakan antara yang hak dengan yang bathil.

Oleh itu, ayuhlah berfikir sejenak, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan adakah kita telah menelusuri hadith rasulullah Sallahu alaihi wasallam yang berbunyi :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya (mempunyai perasaan yang amat benci dengan perbuatan itu). Dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Adakah kita lupa bahawa hukuman atau balasan Allah Rabbul ‘Alameen bukan sahaja menimpa mereka yang membuat maksiat, tetapi juga kepada mereka yang tidak menghalang kemungkaran daripada berlaku bahkan lebih memilukan ia membiarkannya sahaja tanpa ada perasaan benci terhadap perbuatan melanggar perintah Allah Jalla wa ‘Ala.

Teringat saya pada semester 3 yang lepas, Alhamdulillah sempat juga saya belajar bersama Dr Majed bab At-Targhib Wa At-Tarhib dalam mata pelajaran Fiqh Ad-dakwah. Dalam bab ini juga menerangkan uslub dakwah kita kepada orang ramai, hendaklah mempunyai kesinambungan antara kedua-dua aspek ini, hal ini dinyatakan kerana setiap jiwa-jiwa manusia ini berlainan jenisnya, berlainan karenahnya. Oleh itu, dari sudut penerimaan dakwah juga perlukan kekreatifan da’ie dalam menyampaikan agama suci ini. Allah ada berfirman dalam surah Al-Anbiya’ ayat 90 :

وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

Maksudnya : dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas*. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.

*cemas memberi erti mengharap agar dikabulkan Allah doanya dan khawatir akan azabnya.

Dalam kupasan tajuk At-Targhib Wa at-Tarhib buku fiqh ad-dakwah karangan Dr Bassam ‘Amoush ini, ada dinyatakan kitab-kitab yang berkaitan dengan bab ini seperti buku At-Targhib Wa At-Tarhib oleh Munziri, Isbat Azab Qubur oleh Baihaqi, Hadi Al-Arwah oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah. (boleh rujuk buku ms86 & 87)

Teman-Teman,

Dengan artikel yang serba ringkas ini, diharap dapat menambahkan sedikit kesedaran dalam diri kita ini walaupun sedikit. Maaf di atas ketidakpunyaan masa untuk mengemaskini blog ini. Kami Peduli Umat!

Wallahu A’lam, wassalam.


~ amin albumbuni

~ Kuantan

~ 16 Safar 1430H