السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

02 November 2011

Menjadi tetamu Allah

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam..

Kaaba, Hajj 1431H


Haji dan tetamu yang dinanti-nanti.


Semua sedia maklum bahawa menunaikan haji di Makkah merupakan pelengkap rukun bagi seseorang muslim. Mahu tidak mahu seseorang itu haruslah memasang niat untuk melakukannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Tidak pula ia menjadi wajib bagi mereka yang tidak mampu atau dengan kata lain yang masih belum memenuhi syarat wajib tunai haji. Haji secara umumnya membawa erti mengunjungi Baitullah al-Haram dalam rangka memenuhi seruan Allah Azza Wa Jal dengan menunaikan ibadat tertentu, pada masa yang tertentu, dan syarat-syarat yang tertentu.

Biarpun lama menunggu giliran dari tahun ke tahun, kerana keterujaannya untuk melengkapkan rukun sebagai seorang muslim, pastinya seseorang itu tidak pernah rasa kecewa sehinggalah dirinya terpilih menjadi tetamu Allah yang dinanti-nantikan. Sukar untuk dituturkan melalui lisan apatah lagi tulisan pena, hanya hati mereka sahaja yang dapat menterjemahkan kegembiraan apabila terpilih untuk menyahut panggilan Rabb Al-Azeem. Maka bersedialah untuk diuji kekuatan fizikal dan kekentalan mental dalam menelusuri disiplin haji di Tanah suci.

Alangkah indahnya Islam, mengumpulkan ummatnya yang terdiri daripada berbilang bangsa, datang dari pelbagai benua, tidak kira pula dialek dan bahasa, semuanya menuju ke Baitul-Haram untuk membuktikan ketaatan kepada yang Esa. Pada masa ini semuanya seiring sekata, sama ada dia seorang raja mahupun rakyat jelata, fakir miskin mahupun jutawan kaya, berkerusi roda mahupun sihat sejahtera, hanya yang membezakan mereka adalah ketaqwaan yang bagaimana. Di pusat ibadat inilah peluang untuk jemaah menggandakan amalan serta menyesali dosa-dosa dengan memohon keampunan. Apatah lagi di sini telah dijanjikan gandaan ganjaran:

Dari Jabir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain." |Hadith Riwayat Ahmad|


Keagungan Labbaikallah.

Setelah berihram dan berniat untuk melakukan haji mahupun umrah, dengan berpakaian serba putih bagi kaum muslimin manakala pakaian yang menutup aurat bagi muslimat, semuanya bersatu menggemakan ucapan talbiyah sebagai senandung para jemaah haji. Sesuai dengan apa yang dilakukan oleh rasul junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wasallam dalam hajinya, berkata Jabir radiyallahu anhu:

حتى إذا استوت به ناقته على البيداء أهل بالحج فأهل بالتوحيد لبيك اللهم لبيك.....

"Rasulullah memulai membaca talbiyah ketika telah tegak untanya di al-Baidaa Baginda ihlal (ihram) dengan haji lalu bertalbiyah dengan tauhid, labbaikallahumma labbaik...."


Lafaz talbiyah itu sendiri adalah merupakan jawapan sebagai menyahut perintah Allah dalam firmanNya yang berbunyi:


وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالاً وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh" |Al-Haaj: 27|


Maka terucaplah kalimah talbiyah seperti berikut:

"Aku datang memenuhi panggilanMu, ya Allah! Aku datang memenuhi panggilanMu"

"Aku datang memenuhi panggilanMu, Tuhan yang tiada sekutu bagiMu, Aku datang memenuhi panggilanMu"

"Sesungguhnya segala pujian, nikmat, dan kekuasaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu"


Andai diteliti dengan mendalam makna yang tersurat dan tersirat di dalam lafaz talbiyah ini, kita akan dapati di sana terucap kalimah kemurnian aqidah seseorang dengan mengakui bahawa Allah lah yang layak disembah, pengakuan bahawa Allah yang memiliki segalanya di langit dan di bumi, juga lafaz syukur dan pujian hanya dipanjatkan kepadaNya Jalla Wa ‘Ala. Maka jemaah haji yang benar-benar ingin mendapatkan ganjaran daripada Rabbnya sudah tentu harus meneliti serta menghayati makna lafaz talbiyah ini sebelum dilafazkannya, tidak hanya sekadar bermain di bibir.

Labbaikallahumma labbaik (aku datang memenuhi panggilanMu ya Allah, aku datang memenuhi panggilanMu) sekiranya dilafazkan dengan penuh penghayatan dan kesungguhan dari lubuk hati yang paling dalam akan membuatkan seseorang itu akan melaksanakan tuntutan haji dengan penuh kesungguhan serta menjaga disiplin-disiplin yang telah disyariatkan. Perintah dan larangan yang ditetapkan sudah tentu dijaga rapi agar tidak dilanggarnya tidak kira sewaktu ihram, tawaf, sai’e, wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina, lontar Jamrah dan lain-lainnya.

Labbaika la syarika laka labbaik (aku datang memenuhi panggilanMu, Tuhan yang tiada sekutu bagiMu, aku datang memenuhi panggilanMu) pada rangkap inilah terserlahnya Keesaan Allah serta tiada sekutunya bagiNya secara tidak langsung ia telah pun merangkumi konsep tauhid Rububiyyah serta tauhid Uluhiyyah. Dengan melafazkan kata-kata agung ini, jemaah yang menghayati sentuhan hati dari kalimah ini akan berhati-hati daripada melakukan segala macam ibadah yang berbau syirik. Lebih-lebih lagi apabila berada di Tanah Haram yang ada daripada kita mempercayai sesuatu tempat itu boleh mendatangkan kebaikan dan menolak musibah walhal tidak ada dalil pun yang menyatakan sedemikian. Oleh itu jemaah perlu berwaspada dengan hal ini supaya tidak memesongkan aqidah seterusnya kehilangan pahala ibadah.

Innal hamda, wanni’mata, laka wal mulk, la syarika lak (sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu). Di sini pula merangkumi tauhid asma’ wassifat dengan penetapan sifat-sifat terpuji pada zat Allah Subhanahu wa Taala. Begitulah agungnya kalimah yang dilafazkan ini yang mana ia meliputi konsep tauhid yang amat penting bagi seseorang muslim itu. Pujian yang diberikan pada lafaz kalimah ini menjadikan jemaah sentiasa merasakan bahawa dia hanya insan yang lemah dan tidak punya apa-apa, Allah jualah yang memiliki segalanya, memberi rezeki dan nikmat kepada hambaNya. Seterusnya membuatkan jemaah berusaha untuk menjadi tetamu Allah yang terbaik, sentiasa merendah diri dan tidak sombong dan ego.

Ikhlaskan niat, syarat penerimaan amalan.

Sudah menjadi impian setiap jemaah haji agar dikurniakan haji mabrur, dan amalan-amalan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Tetapi ia bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dilakukan dengan sambil lewa memandangkan ibadah haji perlu ditelusuri dengan disiplin yang tinggi, dan mujahadah yang kental dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan yang diterima. Niat yang ikhlas dan tulus dalam melaksanakan haji semata-mata kerana Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya dapat mendorong seseorang itu meraih haji mabrur.

Apatah lagi syarat penerimaan sesuatu amalan itu adalah ikhlas niatnya dan tatabbu’ iaitu mengikuti sunnah yang diamalkan oleh rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam. Menunaikan haji bukan sekadar ingin mendapatkan ‘title haji’ yang diidamkan sesetengah orang, bukan sekadar ingin membeli-belah barangan-barangan islamik, bukan sekadar melancong ke tempat-tempat seerah, malah apabila kita telah terpanggil untuk menjadi tetamu Allah, maka niat kita hendaklah jelas kerana Allah dan meraih ganjaran yang dijanjikanNya.

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah”. |Al-Baqarah: 196|

Niat yang ikhlas datang daripada hati yang bersih. Maka sebagai warm-up dalam permusafiran, jemaah seharusnya lebih awal lagi berdoa dan memohon keampunan agar dikurniakan hati yang bersih, memasang niat ikhlas kerana Allah, seterusnya berdoa agar diberikan kemudahan dalam segala urusan haji yang akan dilakukan. Juga menambahkan ilmu tentang ibadat-ibadat haji agar setiap amalan yang dilaksanakan didasari dengan ketulenan kebenaran.


Pengalaman untuk pengajaran.

Masih segar dalam ingatan dan semoga ianya menjadi pengajaran, ketika saya dan sahabat-sahabat seperjuangan menunaikan ibadat haji 1431H tahun lepas, sejak awal perjalanan lagi kami merasakan seperti ada sesuatu yang belum disempurnakan. Mungkin semua terlalu gembira dan teruja atas peluang menyempurnakan haji pada tahun itu. Perjalanan dari utara Jordan, Irbid ke Madinah Munawwarah dengan menaiki bas mengambil masa 20 jam. Semuanya seperti tidak kena dan tidak mengikut perancangan.

Dengan jadual bertolaknya ditangguh beberapa jam, ditambah pula masalah bas yang semput, serta asap hitam dan habuk bagaikan bekalan bagi penumpang bas berkenaan. Beberapa kali ada juga tersadai di tepi jalanraya di tengah-tengah padang pasir yang gelap. Namun dengan adanya driver bas yang cool & steady akhirnya sampai juga di bandar Nabi Madinah Munawwarah. Letih penat lesu, itu sahaja yang mampu dilukis dalam diari pada hari itu. Perjalanan dari Madinah ke Mekah pula biasanya mengambil masa 5 atau 6 jam. Semua kami telah bersedia dengan harapan ada bas baru menggantikan yang semput itu. Namun tidak seperti yang diharapkan kami dihidangkan dengan bas yang sama sehinggalah bas itu benar-benar disahkan tidak selamat di salah sebuah kawasan rehat antara Madinah-Makkah. Kemudian barulah kami diberikan bas yang lain.

Kalau tidak silap, hampir tenggelam juga subuh kami sebelum sempat sampai di perhentian seterusnya yang tinggal beberapa kilometer sahaja untuk memasuki Makkah. Akhirnya sampai juga kami di hotel yang telah ditempah oleh pihak syarikat umrah & haji. Sekali lagi terdengar keluhan dan lenguhan jemaah tanda tidak berapa puas hati dengan penginapan. Masakan tidak hotel yang kurang selesa dan prasarana yang tak seberapa, tambahan pula jauh dengan Masjidil Haram yang menara jamnya pun tidak pula kelihatan, juga kurang kenderaan yang melalui kawasan tersebut. Nak dipendekkan cerita, banyak lagi dugaan kami sama ada di Mina, Arafah, Muzdalifah, lontar Jamrah dan lain-lain termasuk Al-Baik.

Arafaa, Hajj 1431H

Sehinggalah kami membuat keputusan untuk berkumpul beramai-ramai mengadakan halaqah untuk muhasabah. Masing-masing bertafakur kembali apa yang telah dilakukan sebelum ini, juga muhasabah diri mengembalikan niat haji kerana Allah, kerana barangkali ada di antara kami yang terlalu excited sehingga terlupa tujuan asal. Hikmahnya jangan menyangka perjalanan haji itu adalah sebuah pelancongan yang menyeronokkan. Sekiranya kita salah menterjemahkannya, maka lain pulalah jadinya. Alhamdulillah selepas itu semua perjalanan mengikut perancangan. Moga Allah mengampuni segala kesalahan kami, dan mengurniakan kami haji mabrur, serta menerima amalan-amalan kami.

Barangkali ketabahan dan kesabaran itulah yang perlu kami bayar untuk mendapatkan haji yang diterima oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Barangkali penat lelah dan kesusahan itulah yang menghapuskan dosa-dosa kami terdahulu, siapa tahu. Sabda Baginda Sallallahu Alayhi Wasallam daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id Radiyallahu anhuma:

‘Tidaklah seorang muslim itu ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahannya’. |Hadith riwayat Bukhari|


Signifikansi qurban.

Setibanya bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijri, ibadah qurban di tempat masing-masing dan juga ibadah haji yang ditunaikan di Makkah pasti menjadi tajuk utama orang ramai. Kisah Nabi Ibrahim Alayhi as-Salam dengan anaknya Nabi Ismail Alayhi as-Salam juga menjadi silibus pilihan di surau-surau dan kebanyakan masjid. Tidak kurang juga kisah pengorbanan Siti Hajar Radiyallahu Anha. Hal ini kerana ibadah haji dan qurban itu sendiri merupakan lajakan daripada kisah kehidupan dan pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga Alayhimus Solatu Wassalam. Sepertimana dalam firman Allah:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ

“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia”. (Al-Mumtahanah: 4)

Persoalannya selepas 15 tahun, 20 tahun, ataupun 30 tahun kita menyambut Aidil Adha yang mulia ini, adakah kita telah benar-benar menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga ini seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan seharian? Ataupun hanya sekadar berkumpul menyembelih dan melapah binatang sembelihan kemudian bersurai tanpa penghayatan yang jitu terhadap erti sebuah pengorbanan. Tatkala Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya Nabi Ismail hanya dengan isyarat mimpi, kedua-dua mereka teguh tidak goyah dengan perintah itu, kerana mereka tahu perintah itu datangnya daripada Allah yang satu, sekaligus membuktikan kecintaan mereka terhadap Maha Pencipta melebihi segala-galanya.


فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar." |As-Shaafaat: 102|

Pengorbanan itu sendiri membawa maksud menyerahkan apa yang kita miliki meskipun ia amatlah kita cintai, kepada mereka yang lebih memerlukan kerana kita mengetahui bahawa ia akan membawa kepada kebaikan baik yang memberi mahupun yang menerima. Ibadah haji yang ditunaikan di Makkah menuntut muslim agar berkorban harta, jiwa, tenaga, fikiran dan perasaan. Begitulah juga qurban yang dilaksanakan dengan cara penyembelihan binatang yang disyariatkan. Moga kita sama-sama dapat menguatkan diri kita agar mampu memberi apa yang kita miliki sekiranya ia membawa kepada kebaikan yang tidak berbelah bagi. Moga dikurniakan kekuatan juga agar kecintaan kita terhadap sesuatu tidak melebihi kecintaan kita terhadap Allah SWT.

Cukuplah setakat ini tulisan yang mahu dikongsi, bukanlah diri ini sebaik-baiknya untuk menasihati. Tetapi ingin sekali menjadi salah satu daripada beribu agen yang membawa kepada islah dan kebaikan duniawi dan ukhrawi, Inshalla. Moga bermanfaat.




Wallahu a’lam, Wassalam.


Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |06 ZulHijjah 1432H|



No comments: