السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

17 November 2011

Sebut Harga Diri Sendiri

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.



Bebas menilai apa sahaja.

Orang ramai boleh menilai dan membuat andaian apa sahaja sesudah melihat raut wajah dan tubuh seseorang. Biasanya mengambil masa sesaat dua sahaja selepas ia melintasi kotak fikiran, kemudian mereka akan berkata sesuatu berkenaan suspek tersebut. Contohnya seperti menilai seorang graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian ijazah sarjana mudanya. Tafsiran mereka yang sudah mengenali graduan tersebut sebelum ini semestinya berbeza dengan mereka yang baru kali pertama melihat makhluk Allah itu di muka bumi ini. Pelbagai andaian dan tafsiran daripada orang yang berbeza-beza dapat diperolehi, sebagai contoh:


1. Ketika menghadiri program solat hajat untuk peperiksaan SPM dan PMR di salah sebuah sekolah, yang mana adik graduan tersebut akan menduduki peperiksaan besar pada tahun itu. Seorang bapa pelajar telah menghulurkan tangan untuk berjabat sambil berkata kepada graduan itu: “Dik, moga adik berjayalah ya dalam peperiksaan yang adik ambil nanti, adik ni periksa SPM ke PMR tahun ni?”

2. Sedang termenung jauh di dalam kereta, menunggu adik kecilnya keluar dari pintu gerbang sekolah, tiba-tiba ditegur sapa oleh seorang pakcik: “Anak awak yang nombor berapa sekolah sini, lelaki ke perempuan? Pakcik memang suka sangat tengok anak-anak kecil ni.”

3. Sedang mengendalikan kursus motivasi di salah sebuah sekolah, guru besarnya pula bertanya: “Abang tengah cuti ke sekarang?” Jawab hamba itu ringkas: “Baru saja tamat belajar”. Guru besar mengajukan soalan kedua: “Oh, jadi sekarang tengah tunggu keputusan SPM la ye? Eh bukan ke SPM baru saja mula?”

4. Seorang makcik pula menyapa dengan suara garau dan penuh semangat: “Eh awak ni yang tinggal dekat belakang tu kan, dah lama makcik tak nampak awak. Dah besarlah sekarang, mesti penuh ilmu di dada ni kan.” Satu lagi kategori tafsiran yang perlu dinilai semula barangkali. Samada memuji manis ataupun menegur sinis. Pandai pula makcik seorang ini menjaga hati, pengalaman orang kata.


Itulah sedikit sebanyak andaian yang mungkin boleh dibuat berdasarkan rupa yang dilihat oleh mereka. Yang jelasnya khilaf tafsiran antara mereka sudah mula dirasa sejak menilai luaran seseorang lagi, luaran yang serba nampak, tiada selindung. Biarlah mereka hendak menilai bagaimana, kerana itulah kemampuan otak masing-masing dalam menafsirkan apa yang dilihat oleh mata.

Pun begitu, ada pula yang cuba membaca hati manusia yang terselindung jauh di sanubari sana. Rancak pula mempersoalkan keikhlasan seseorang dalam melaksanakan ibadah. Pandai pula menjadi hakim agung, menentukan amalan si fulan ini diterima Allah, dan amalan si fulan ini tergantung, boleh tahu pula si fulan ini amalannya sia-sia, hanya dapat lapar dan dahaga sahaja contohnya.

Tetapi itulah yang perlu kita jaga, kadang-kadang kita sendiri yang terlupa dan terleka. Sibuk dengan mempersoalkan orang lain yang sedang rancak dalam rangka mendapat pahala, kita pula kosong tidak ke mana. Orang lain sudah masuk ke marhalah perdana, itulah kita yang sedang mengikat tali kasut, baru nak memulakan langkah pertama.

Bukan apa, cuma, perlu banyakkan melihat dan merenung pada diri kita sendiri. Kitalah yang paling layak menilai diri kita sendiri berbanding orang lain, baik yang zahir mahupun yang tersemat di dalam hati. Dekat atau jauhnya kita denganNya, seikhlas hatinya atau sekadar sahaja, sunnah Baginda Sallallahu Alayhi wasallam bagaimana pula, dan lain-lain ciri yang boleh dijadikan kayu ukur setinggi mana keimanan dan ketaqwaan kita terhadapNya.



Meletakkan label harga.

4 botol yang sama saiznya, tetapi harga setiap botol itu berbeza-beza. Bagaimana pula?

1. Botol yang diisi dengan air soya atau oren Mirinda barangkali, dijual untuk menghilangkan dahaga bagi pekerja-pekerja buruh yang kepenatan. Harganya RM2. Boleh dihabiskan isinya dalam masa 2-3 minit mungkin.

2. Botol yang diisi dengan kicap, manis ataupun masin. Dijual untuk menambah perisa dalam masakan, ataupun makanan yang dihidang. Harganya mungkin RM4 atau RM5 dan boleh dihabiskan dalam masa 2-3 minggu.

3. Botol yang diisi dengan madu. Ada yang membelinya untuk terapi kesihatan, ada juga yang menjadikannya sebagai minuman harian, dan segala macam tujuan. Harganya sebotol sekitar RM20, RM30, atau RM40. Boleh tahan agak lama, sebulan dua boleh jadi.

4. Botol yang diisi dengan minyak wangi ‘limited edition’, ataupun ‘special edition’. Dipakai untuk menghidupkan aroma yang tenang, aman dan damai. Harganya boleh mencecah ratusan. Jangka hayatnya pula, kalau hanya 2 titisan disapukan pada badan, boleh tahan 2-3 hari. Jadi hitunglah sendiri.


Begitulah sebut harga yang boleh kita letakkan pada keempat-empat botol yang sama saiznya, tetapi lain isi kandungannya, lain pula harganya.


Jadi, manusia pula bagaimana?

Maka tinggallah persoalan ini tanpa jawapan. Orang lain boleh menilai kita dengan hanya melihat luaran, tetapi tidak jauh hanya dapat mengukur usia, kecergasan, kekemasan diri dan apa sahaja yang boleh ditafsirkan melalui bentuk fizikal kita, itu pun kalau tepat, tepatlah ia. Masih tidak cukup syarat untuk menentukan harga sebenar diri seseorang itu. Parut di kepala mungkin orang boleh mengatakan dia seorang yang ‘gangster’, walhal mereka tidak pernah mengetahui bahawa parutnya itu adalah kerana semata-mata mempertahankan agama Allah yang Maha Esa.

Namun kekayaan hati, kemantapan iman, keikhlasan beramal, keluasan ilmu, ketinggian taqwa, itulah antara inti yang perlu ada dalam diri kita, untuk kita tentukan murah atau mahalnya diri kita terhadapNya.

Tepuk dada, tanya diri kita sendiri berapa harga diri kita sekarang, untuk kita berjual beli dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Renung-renungkan firmanNya, 2 ayat sahaja:



إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآَنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآَمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.” |Surah at-Taubah: 111-112|



Wallahu a’lam, wassalam.


Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |20 Zulhijjah 1432H|



07 November 2011

Khutbah 10 ZulHijjah 1432H

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.





Khutbah Aidil Adha 1432H.


Khutbah Pertama.


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر،

لا إله إلا الله والله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

الحمد لله الذي جعل إراقة دم الأضاحي يوم عيد الأضحى من أجل القربات.

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدًا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.

أما بعد، فيا عباد الله، اتقوا الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون. قال الله تعالى في كتابه العزيز:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً


Muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan bersyukur kepadaNya kerana dengan limpah dan rahmatNya kita dapat bersama-sama menunaikan solat sunat Aidil Adha pada pagi ini.

Hari ini kita dianugerahkan lagi dengan sambutan Aidil Adha, kita berada di dalam hari ibadat dengan penuh kegembiraan. Ketahuilah bahawa setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala ada bersamanya pengajaran. Pengajaran yang terkandung dalam Aidil Adha adalah kesatuan ummah, walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara. Ummat islam adalah ummat yang bersatu dengan mengadap kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Rabbul Alameen.

Lihatlah bagaimana Allah Subhanahu Wa Ta’ala mewajibkan semua ummat islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat, dengan niat yang sama dan mengucapkan talbiyah, tahmid dan takbir yang sama menunjukkan ummat islam ummat yang satu. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), Lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” |Surah ali-Imran:103|


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagiNya segala pujian.


Muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Aidil Adha juga dinamakan hari raya korban kerana salah satu amal ibadat yang disunatkan pada hari ini ialah melaksanakan ibadah korban. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:


إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ (1) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (2) إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ (3)

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). |surah al-Kauthar: 1-3|


Berdasarkan kepada firman Allah tersebut, jumhur ulama’ berpendapat bahawa hokum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Kedudukannya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pula lebih besar.

Muslimin muslimat yang dikasihi Allah sekalian,

Dalam peristiwa pengorbanan nabi Allah Ibrahim Alayhi as-Salam dan anaknya nabi Allah Ismail Alayhi as-Salam, seorang bapa telah diperintahkan supaya menyembelih anak kesayangannya. Kita dapat mengambil kesimpulan di antaranya ialah, kepatuhan dan ketaatan anak terhadap bapanya begitu hebat, betapa sucinya pengorbanan yang telah dilakukan oleh kedua-duanya (baik bapa mahupun anak). Dengan keimanan kepada Allah yang begitu tinggi, maka kedua-duanya sanggup untuk menjunjung perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sebagai umat islam sudahkah kita berkorban untuk menegakkan syiar Islam? Seorang bapa sudahkah berkorban memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya? Seorang suami sudahkah kita berkorban untuk kebahagiaan rumah tangga? Dan seorang anak watan adakah kita sudah menunaikan satu pengorbanan suci untuk tanah air?

Sabda rasulullah Sallallahu Alayhi wasallam yang diriwayatkan oleh imam Ahmad dan Ibn Majah:


مَنْ وَجَدَ سَعَةً لأَنْ يُضَحِّىَ فَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا

“Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk melakukan korban tetapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia mendekati tempat kami bersolat ini.” |Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Majah|


Daripada hadith ini dapat difahami bahawa ibadah korban itu amat penting sehingga hukumnya seolah-olah kepada wajib terutamanya kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahkan rezeki kepada mereka.


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagiNya segala pujian.


Muslimin muslimat yang dikasihi Allah sekalian,

Jelaslah kepada kita bahawa ibdah korban itu disunatkan sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian daripada nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin seterusnya dapat meninggikan lagi syiar islam itu sendiri.

Sebagai kesimpulan, antara nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban antaranya ialah:

1. Melatih kaum muslimin supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

2. Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

3. Menghidupkan seerah nabi Ibrahim Alayhi as-Salam yang kemudian disunnahkan oleh rasulullah Sallallahu Alayhi wasallam.


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagiNya segala pujian.


Oleh itu, marilah kita bermuhasabah diri tentang apakah bentuk pengorbanan yang mampu kita laksanakan. Semoga dengan pengorbanan yang kita lakukan mendapat keberkatan dari Allah dan kita tergolong dalam golongan hamba yang bersyukur.

Di kesempatan ini juga, marilah kita berdoa agar ahli keluarga, sahabat handai kita serta umat islam seluruhnya yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah pada saat ini sentiasa dilindungi Allah dan dipemudahkan amalan mereka hingga memperoleh haji yang mabrur serta selamat pulang ke tanah air.


Bumbun, 10 Zulhijjah 1432H


أعوذ بالله من الشيطن الرجيم

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلاَ دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan (amal ikhlas) dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkan (binatang-binatang) itu untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. |surah al-Ahzab: 37|


بارك الله لى ولكم بالقرءان العظيم، ونفعنى وإياكم بما فيه من الأيات والذكر الحكيم، وتقبل منى ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولى هذا وأستغفر الله العظيم لى ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين.


Khutbah Kedua.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر.

الحمد لله الذى هدانا لهذا وما كنا لنهتدى لولآ أن هدانا الله

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدًا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.

أما بعد، فيا عباد الله، اتقوا الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون.


مَعَاشِرَ المُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ رَحِمَكُمُ الله،

Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala titah perintahNya dan menjauhi segala tegahan dan laranganNya.

Pada saat ini juga jemaah haji kita sedang menunaikan amalan haji di Mina, semoga dikurniakan haji yang mabrur InshaAllah. Sama-sama kita mendoakan mudah-mudahan kepulangan mereka ke tanah air kelak akan memulakan hidup baru yang dibentuk atas dasar iman yang teguh, azam yang kuat, hati yang suci dalam menjalankan satu perhubungan mesra yang penuh rasa mahabbah dan kasih sayang, dan juga sentiasa mengutamakan urusan-urusan Allah daripada urusan-urusan mereka sendiri.


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا


Marilah kita sama-sama mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi wasallam.

اللهم صل وسلم على سيدنا محمد

وعلى اَل سيدنا محمد

Marilah kita bermohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, supaya Allah meredhai khalifah-khalifah rasulullah Sallallahu Alayhi wasallam iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq radiyallahu ‘anhu, saidina Umar Ibn al-Khattab radiyallahu ‘anhu, saidina Uthman Ibn Affan radiyallahu ‘anhu dan saidina Ali Ibn Abi Talib radiyallahu ‘anhu. Dan juga sahabat-sahabat Baginda yang sama-sama berjuang menegakkan agama Allah yang maha suci ini, juga kepada bapa saudara junjungan kita saidina Hamzah dan saidina Abbas radiyallahu ‘anhuma, cucunda-cucunda Baginda saidina Hassan dan saidina Hussein radiyallahu ‘anhuma, puteri Baginda saidatina Fatimah az-Zahra’ radiyallahu ‘anha, isteri-isteri Baginda saidatina Khadijah radiyallahu ‘anha, saidatina Aisyah radiyallahu ‘anha dan lain-lainnya. seterusnya kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat, pengikut-pengikut sahabat dan mereka yang menuruti mereka itu dari semasa ke semasa hingga hari kiamat.


اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات،


Ya Allah, ampunkanlah sekalian kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat, samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Ya Allah kurniakanlah taufiq dan hidayah, kekuatan, kesejahteraan dan pertolongan kepada ketua-ketua Islam dan raja-rajanya, khasnya kepada hambaMu penjaga syariatMu Sultan Ibrahim Ibn al-Marhum Sultan Iskandar, sultan dan yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim dan kepada Raja Zarith Sofea Binti al-Marhum Sultan Idris Shah, Tengku Ismail Ibn Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Johor, putera-putera dan puterinya, kerabat-kerabat diRaja dan rakyat sekalian.


اللهم أعز الإسلام والمسلمين، اللهم انصر المجاهدين في كل مكان وفي كل زمان.

اللهم يا محول الأحوال حول أحوالنا إلى أحسن الحال، وأنت على كل شيء قدير، يا حي يا قيوم، ياذا الجلال والإكرام.

اللهم أدخلنا وذريتنا وأصولنا وفروعنا الجنة مع الأبرار، يا عزيز يا غفار يا رب العالمين.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

ووفقنا الله وإياكم بفعلٍ حميدٍ وأَعَادَ عَلَيْناَ وعليكم من بركات العيد السعيد. وأدخلنا وإياكم الجنة مع الفائزين. دعواهم فيها سبحانك اللهم وتحيتهم فيها سلام وءاخر دعواهم أن الحمد لله رب العالمين.


Rakaat Pertama
Rakaat Kedua

Khutbah Pertama
Khutbah Kedua


Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |11 Zulhijjah 1432H|



05 November 2011

Arafah, siapakah geranganmu?

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam..



Arafah, siapakah geranganmu?
Mengapa tidak terkenal seperti Lailatul Qadr?
Apa bezanya kamu dengan Asyura?
Apa personalitimu sehingga menjadi hari istimewa dalam bulan Islam?


Hari ini 9 Zulhijjah 1432H, bermakna jemaah haji yang berada di Makkah akan berkumpul di Arafah untuk menunaikan rukun wuquf, sehinggalah terbenamnya matahari. Berkumpulnya berjuta bilangan manusia dengan pakaian yang serba sama, membayangkan bagaimana detik manusia apabila dibangkitkan semula, seraya berkumpul di padang Mahsyar memperlihatkan amalan masing-masing. Maka apakah yang lebih hebat daripada ini untuk memberi peringatan kepada kita tentang peristiwa tersebut. Seakan-akan masing-masing sedang berkata sesuatu, memohon keampunan sebelum amalan-amalannya dihisab.

Masih teringat pengalaman saya di sana, ketika baru sahaja memanjat Jabal Rahmah dengan bertemankan sahabat-sahabat, tidak lupa juga panas terik yang setia menemani kami tengahari itu. Dalam kesesakan berjuta jemaah, sempat salah seorang yang berasal dari negara X menyeluk beg kecil saya yang diikat melilit pinggang. Namun tangan saya lebih pantas untuk menangkap tangannya yang sedang mencari ‘rezekinya’ barangkali dalam beg itu. Saya memarahinya dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita, dan sudah pastinya dia tidak memahami budi bahasa budaya kita. Allah, bagaimana aku boleh memarahinya, istighfar kembali menahan marah dan merah lantas mendoakannya. Moga dia selepas itu kembali ke khemahnya dan memohon keampunan sementara Arafah masih di sana.

Manusia yang datang dari serata dunia baik tua mahupun muda, pelbagai warganegara dan lain pula warna, tak kenal antara siapa, masing-masing mengambil tempat di Arafah, memanfaatkan masa yang terhad ini memohon keampunan dan mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala. Sudah tentu mereka yang berada di Arafah tidak mahu menjadi serugi-rugi hamba sebaik sahaja menjejakkan kaki di sana. Apatah lagi keterbatasan kita untuk menjangka apakah di sana terdapat peluang kedua untuk kita ke sana.

Suka saya di sini untuk berkongsi biodata Arafah kepada sesiapa yang masih belum mengenalinya. Mungkin ramai yang sudah sinonim dengan Lailatul Qadr yang dijanjikan amalan selama seribu bulan bahkan lebih daripada itu, tetapi adakah semua dapat memilikinya memandangkan dirahsiakan kedatangannya. Tak kurang juga sunnah pada hari Asyura dan lain-lainnya. Nah betapa pemurahnya Allah Jalla Wa Ala dalam memberikan ganjaran kepada hamba-hambaNya yang beramal, bahkan menggandakannya pada hari-hari tertentu. Subhanallah!


Keampuanan dosa, Allah Maha Pengampun.


مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

“Di antara hari yang Allah banyak membebaskan hambaNya daripada api neraka adalah hari Arafah. Dia akan mendekati mereka lalu akan menampakkan keutamaan mereka pada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” |Hadith riwayat Muslim no. 1348, daripada ‘Aisyah Radiyallahu Anha|


Tatkala Allah sendiri bertanya apa yang hambaNya inginkan, apakah kita masih kaku mahu berdiam diri. Lekas, bangkit, berdoalah bersungguh-sungguh, sepenuh hati. Jangan sia-siakan hari ini berlalu pergi tanpa memohon keampunan Ilahi. Di Arafah sana, sudah tentu ia menjadi saksi air mata hamba-hambaNya jatuh membasahi Bumi. Justeru apakah kita berdiam diri, hanya menonton babak terbenamnya matahari?


Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda lagi:


خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah” |HR. Tirmidzi no. 3585|


Maka jelas di sini bahawa hari Arafah merupakan waktu yang mustajab untuk hamba-hamba Allah berdoa memohon sesuatu. Mintalah kepadaNya dengan bersungguh-sungguh dan yakin bahawa Allah akan memperkenankannya, tidak kira bahasa apa yang digunakan, sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Memahami akan hambaNya. Kecuali mereka yang berdoa dalam hati yang lalai.


Jabal Rahmaa |Hajj 1431H|


Puasa Arafah, 2 tahun pengampunan dosa.

Dan lagi, ya, ini pula pulangan yang Allah Azza Wa Jal tawarkan kepada hamba-hambaNya yang berpuasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Apa lagi yang lebih indah dimahukan oleh seorang hamba, ia lebih jauh berharga daripada ditawarkan mendapat bonus gaji 2 tahun, yang belum tentu ke mana wang itu akan dibelanjakan bukan? Ganjaran ini sepertimana yang disabdakan Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam dari Abi Qatadah:


صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ


Puasa Arafah, aku berharap agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya manakala puasa hari Asyura (10 Muharram) aku berharap agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya." |Hadith riwayat Muslim no. 1162|


Mengikut sifir matematiknya, dapat disimpulkan daripada hadith di atas bahawa puasa hari Arafah lebih utama daripada puasa hari Asyura jika ditimbangtara mengikut ganjarannya. Walaubagaimanapun di sana terdapat fadhilat pada hari Asyura memandangkan Nabi Sallallahu alayhi wa sallam juga berpuasa pada hari tersebut, yang mana sejak daripada amalan Nabi Musa Alayhi as-Salam lagi, bahkan ahlul Kitab mahupun arab Quraisy pada zaman jahiliyyah juga berpuasa pada hari Asyura tersebut. Tetapi sunnah puasa Arafah yang asalnya dari Nabi terulung, begitulah ganjarannya yang disebutkan hadith di atas tadi.


عَن بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَالْخَمِيسَ


Beberapa isteri Nabi Sallalahu ‘alayhi wa sallam berkata: Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam sering berpuasa pada sembilan Zulhijjah, hari Asyura, dan tiga hari setiap bulan, Isnin awal setiap bulan dan hari Khamis. |Sunan Abi Daud no. 2085|


Namun begitu, keutamaan puasa Arafah ini diberikan kepada mereka yang tidak menunaikan haji pada waktu tersebut. Begitulah Allah Subhanahu Wa Taala mempelbagaikan bentuk ibadah untuk hamba-hambaNya berasa selesa dalam membuktikan ketaatan kepadaNya. Tetapi tidak pula ditegah bagi mereka yang menunaikan haji untuk berbuat demikian. Apapun, amalan Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa sallam adalah sebaik-baik amalan untuk dijadikan ikutan. Hadith-hadith di bawah ini sudah cukup untuk menunjukkan keutamaan amalan yang sendiri dilakukan oleh Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam dan para sahabat radiyallahu Anhum.


حَجَجْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِى بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ. وَأَنَا لاَ أَصُومُهُ وَلاَ آمُرُ بِهِ وَلاَ أَنْهَى عَنْهُ

“Aku pernah berhaji bersama Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam dan beliau tidak menunaikan puasa pada hari Arafah. Aku pun pernah berhaji bersama Abu Bakr, beliau pun tidak berpuasa ketika itu. Begitu pula dengan ‘Utsman, beliau tidak berpuasa ketika itu. Aku pun tidak mengerjakan puasa Arafah ketika itu. Aku pun tidak memerintahkan orang lain untuk melakukannya. Aku pun tidak melarang jika ada yang melakukannya.”|Hadith riwayat Tirmidzi no. 751|


أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- أَفْطَرَ بِعَرَفَةَ وَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ أُمُّ الْفَضْلِ بِلَبَنٍ فَشَرِبَ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak berpuasa ketika di Arafah. Ketika itu beliau dihantarkan minuman susu, beliau pun meminumnya.”|Hadith riwayat Tirmidzi no. 750|


Jordan Camp, Arafaa |Hajj 1431H|


Alhamdullillah, saya diberi kesempatan untuk menembak doa di padang Arafah pada tahun lepas (1431H), dan thumma alhamdulillah masih diberi kesempatan pada tahun ini (1432H) untuk melakukan sunnah-sunnah pada hari Arafah di tanah air sendiri. Sama-samalah kita, bukanlah dihadkan pada puasa dan berdoa sahaja, malah membaca al-Quran, berzikir, amar ma’ruf nahi mungkar, dan lain-lain juga adalah sunnah yang tidak boleh diketepikan. Moga semua amalan kita diterima Allah, Inshalla.


Wallahu a’alam. Wassalam.


Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |09 Zulhijjah 1432H|