Ikhtilaf, berbeza atau tidak sama merupakan sunnah alam. Manusia adalah sebahagian daripada alam. Oleh itu ikhtilaf adalah menjadi sifat manusia. Ikhtilaf atau tidak sama ini, atau kadang-kadang bertentangan, sebenarnya menatijahkan maslahat kepada manusia. Pertentangan positif dan negatif dalam arus elektrik menghasilkan pembakaran, pemanasan, atau pendinginan. Begitulah yang lain. Semuanya menjana maslahat kepada manusia. Ikhtilaf manusia dalam hukum fiqh juga membawa maslahat.
Sejarah menunjukkan para sahabat radiyallahu anhum juga berikhtilaf dalam melaksanakan perintah Rasulullah Sallahu alaihi wasallam. Arahan Baginda Sallahu alaihi wasallam supaya menunaikan solat Asar di Bani Quraizah telah ditafsirkan sahabat dengan dua penafsiran.
لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة
Ada yang berpendapat ia arahan yang tidak boleh diingkari dalam apa jua sekalipun, oleh itu bila waktu Asar masuk sebelum sampai di Bani Quraizah mereka tidak solat. Yang lain pula menafsirkan arahan itu bertujuan supaya mereka berjalan cepat agar sampai di Bani Quraizah pada waktu Asar atau sebelumnya. Oleh kerana waktu Asar masuk sebelum mereka sampai di Bani Quraizah mereka menunaikan solat Asar tersebut, tidak seperti kumpulan pertama.
Banyak lagi perkara-perkara yang menjadi ikhtilaf sahabat. Ikhtilaf ini tidak menyebabkan perkara yang negatif. Jika sahabat pada waktu itu pun sudah terdapat ikhtilaf, apatah lagi kita yang hidup pada waktu ini. Sebab itu Umar bin Abdul Aziz mengatakan beliau tidak gembira jika para sahabat tidak khilaf [2], sebab jika mereka tiada khilaf kemungkinan ada keadaan yang memaksa kita tidak mengikut pendapat mereka, ini akan membuatkan kita berdosa. Tetapi jika mereka ikhtilaf, dan kita memilih mana-mana pendapat mereka beerti kita mempunyai sahabat Rasulullah sallahu alaihi wasallam yang menjadi ikutan.
Ikhtilaf menjadi rahmat kerana ijtihad yang dibuat oleh semua pihak yang layak berijtihad adalah diiktiraf oleh Allah Azza wa Jal. Jika tepat ia peroleh dua pahala, jika tersalah ia akan peroleh satu pahala. Orang awam pula bebas untuk memilih mana-mana pendapat tersebut yang diyakini atau dikira dapat menjana maslahat.
Sabda Baginda Sallahu alaihi wasallam :
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
Hakikat ikhtilaf jika disusun atur dengan baik dan sempurna akan menjana keindahan. Ia bukan suatu isu yang buruk dan negatif, kecuali ikhtilaf yang tidak disusun. Oleh itu, ikhtilaf ulamak sebenarnya merupakan satu keindahan dalam agama Islam. Bukan buruk dan hodoh.
Kenapa ta’sub?
Kenapa kita ta’sub kepada pendapat seseorang sahaja sedangkan semua ijtihad ulamak ini diterima Allah Subhanahu wa Taala. Kalau difikir sekali imbas sikap ta’sub kepada mana-mana imam mazhab contohnya, bukankah hal ini seolah-olah menunjukkan imam tertentu lebih bijak daripada Allah. Kenapa tidak, bukankah Allah telah menerima semua ijtihad mereka yang layak berijtihad, malah memberi satu pahala jika tersalah. Kenapa kita menolak yang Allah terima? Lebih bijakkah kita?
Dalam Islam, musyarri’e (مشرّع ) atau Al-Sultah al-Tasyri’iyah (السلطة التشريعية ) ( Kuasa Lagislatif ) ialah Allah Jalla Wa ‘Ala.
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Ingkar atau menolak hukum hasil ijtihad mujtahid bukanlah merupakan satu dosa atau kesalahan. Hanya ingkar kepada hukum Allah dikira maksiat dan bersalah. Oleh itu sifat ta’sub kepada pendapat mujtahid tertentu dan memaksakan pendapat itu ke atas orang lain seolah-olah menjadikan mujtahid itu sebagai musyarri’e. Hanya pendapatnya yang mesti diterima. Hal ini tidak sepatutnya berlaku.
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Akhir kalam, semoga artikel ini dapat membuka minda kita sehingga kita dapat merasai nikmat-nikmat ibadah dan amalan yang kita lakukan. Sebelum itu ingatlah wahai teman-teman, kita bukanlah hendak permudahkan Islam, tetapi kita hendak kembali kepada agama Islam yang mudah itu…..
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Sabda Rasulullah Sallahu alaihi wasallam :
(يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا)
Sekian, Wallahu ‘alam, Wassalam.
Kita jumpa di sana!
4 Safar 1430H
Segamat
________________________________
1. Soheh Bukhari Kitab Peperangan, Bab Kepulangan Nabi dari Perang Ahzab (3810)
2. Al-Qardhawi : (al-Sahwah al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum, Terj Pustaka Salam )
3. Hadith Amru bin Al-‘As, dikeluarkan oleh Bukhari (6805), Muslim (3240).
4. Surah Al-Ahzab : 36
5. Surah Al-Hajj : 78
6. Surah Al-Baqarah : 185
2 comments:
ustz,
tuka la lagu background tu jangan la taksub lagu arab aje, lagu africa pun ada algu orang maori pun ada
As-sowaab; Laa inkaar fi masaail al-ijtihaad
al-Khata'; Laa inkaar fi masaail al-khilaaf
Sabab? setiap khilaf, akan diruju' kembali kepada nas. mana2 pendapat yg menyalahi nas, adalah tertolak. jika sesuatu perkara tiada nas, maka ia jatuh dalam kerangka ijtihadiyah.
Post a Comment