السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

08 December 2008

Syed Qutb

Syed Qutb telah dilahirkan pada tahun 1906 di sebuah kampung di wilayah As-yut Mesir dari sebuah keluarga yang berada yang patuh kepada agama. Semenjak di bangku sekolah lagi, beliau telah menunjukkan kepintaran dan bakat yang luar biasa. Syed Qutb juga telah menghafal 30 juz Al-Quran ketika beliau berumur 10 tahun. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Universiti Cairo sehingga tamat.

Syed Qutb sangat berminat dalam bidang penulisan dan sastera sejak di bangku sekolah rendah lagi. Beliau telah menulis buku karangan pertamanya ketika berumur 25 tahun. Dalam bidang sastera, beliau telah terpengaruh oleh aliran Al-Akkad, seorang pujangga Arab yang terkemuka pada abad itu. Kemudian beliau memilih alirannya sendiri sebagai seorang sasterawan dan pujangga Islam hingga ke akhir hayat.

Beliau mula menjadi anggota pertubuhan Ikhwanul Muslimin pada akhir tahun 40-an. Beliau juga sangat terpengaruh dengan keperibadian dan perjalanAN hidup pengasas dan pemimpin agung pertubuhan ini iaitu As-Syahid Syeikh Hassan Al-Banna yang telah ditembak mati oleh kakitangan Kerajaan Malik Faruk pada tahun 1948.

Dalam pertubuhan Ikhwanul Mulimin, Syed Qutb pernah diberi kepercayaan memimpin majalah Al-Ikhwanul Muslimin, suara rasmi pertubuhan berkenaan sehinggalah penerbitannya dilarang dan diharamkan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga pernah dilantik mewakili pertubuhan dalam badan-badan pemerintah setelah kemenangan revolusi Mesir pada 23 Julai 1952, hasil kerjasama pertubuhannya dengan pegawai-pegawai muda di dalam Angkatan Bersenjata Mesir.

Pada tahun 1954, beliau telah dihukum penjara selama 15 tahun kerana dituduh berkomplot membunuh Presiden Jamal Abdul Nasser. Akhirnya dengan campur tangan bekas Presiden Abdul Salam Arif dari Iraq, beliau telah dibebaskan pada akhir tahun 1964. Selang beberapa bulan kemudian, beliau telah ditangkap semula dan dibicarakan di Mahkamah Khas Tentera dimana As-syahid Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman di tiang gantung bersama dua orang rakan seperjuangannya iaitu Yusuf Hawasy dan Abdul Fatah Ismail. Bila ditanya tentang hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya itu, beliau telah menjawab sambil mengulum senyum sambil berkata “mati syahid”.

Karya terakhir yang ditulisnya ialah buku yang bertajuk Ma’laam fi Thaariq” (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang sebahagiannya ditulis ketika beliau di dalam penjara.



No comments: