السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

27 December 2008

"Lucutkan Ketidakmanfaatan"

Oleh : amin al-bumbuni


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Segala puji bagi Allah subhanahu wa taala Pemilik sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam, ahli keluarga, para sahabat Radiyallahu Anhum ajma’in dan sesiapa yang mengikutinya dengan niat yang ikhlas mempertahankan perjuangan agama yang sebenar hingga ke hari kiamat.

Teman-teman sekalian,

Hanya sebagai pendahuluan, dalam kehidupan kita, kadang-kadang di sana ada perkara yang kita ingin-inginkan walhal itulah yang memberi mudarat kepada kita, atau itulah yang amat buruk bagi kita. Kadang kala di sana juga ada perkara yang mana kita tidak pernah mahu untuk melakukannya, atau kita gagal untuk melaksanakannya sedangkan itulah yang amat baik bagi kita pada hakikatnya.

Dengan penuh keyakinan, saya tahu ramai yang sudah beberapa kali membaca atau mendengari kata-kata seperti ini sama ada membacanya di mana-mana, atau mendengarinya melalui ceramah-ceramah atau seumpamanya. Tetapi di sini, suka saya memperingatkan diri saya dan teman-teman mengenainya buat kali yang seterusnya sebagai refresh untuk kita semua.

Berbicara tentang hal ini, begitulah firman Allah Jalla wa ‘Ala :

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(1)

Oleh itu wahai teman-teman, ilmu itu sangat penting untuk kita mengaplikasikannya dalam membuat apa-apa jua keputusan dan pilihan. Ilmu adalah asas bagi segala kebaikan. Ilmu itu juga perlu sinonim dengan aktivis-aktivis yang memperjuangkan agama. Pengusaan ilmu itu sendiri memerlukan kepada pengorbanan dan keazaman yang tinggi dan untuk itu kerja-kerja tidak berfaedah perlu ditinggalkan.

Firman Allah Subhanahu wa Taala :

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Maksudnya : dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna.(2)

Dalam ayat tersebut, secara automatiknya kita dapat ketahui bahawa salah satu sifat mukmin yang berjaya ialah bukan setakat meninggalkan perkara dan perkataan yang lagha, bahkan kita perlu menjauhinya. Hal ini bermaksud sekiranya kita terfikir untuk melakukan perkara lagha, segerakanlah hapuskan keinginan itu. Itu tidak lain adalah bisikan syaitan.

Imamuna Ibn Kathir menafsirkan istilah lagha sebagai “segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat, serta segala perkara yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.”(3)

Firman Allah Taala juga :

وَالَّذِينَ لا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya : Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.(4)

Kita lihat sahaja dunia sekarang, apabila umat islam mula membuang masa pada perkara tidak berfaedah maka hal inilah yang menjadi punca kejatuhan umat. As-Syeikh Hasan An-Nadwi di dalam bukunya berkata:

“Tetapi sayang sekali, kaum muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanfaat. Andai kata mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum muslimin, kedudukan mereka tidak akan menjadi saparah ini.” (5)

Teman-teman, apabila kita sendiri menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah, maka kewajipan penting mula terabai dan keutamaan kita tersasar. Natijahnya, adalah kejahilan, kemunduran dan ditambah lagi perbalahan dan perpecahan umat itu sendiri.

Holy Greeting12 Pictures, Images and Photos

Justeru, sudah tiba masanya kita memfokuskan pada ilmu-ilmu penting yang mana dapat membantu agama Allah itu sendiri, memperjuangkan agama. Dalam masa yang sama kita menjauhkan diri seberapa jauh kilometer daripada perkara-perkara yang tiada nilai manfaatnya.

Satu persoalan yang perlu diterapkan dalam diri kita, dan dipersoalkan sendiri oleh diri kita sebelum melakukan sesuatu…

“ Adakah apa yang aku lakukan ini akan menegakkan kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH?”

Secara umumnya, apakah perbuatan dan perkataan kita itu akan membantu agama Islam itu sendiri. Dan apakah kelakuan kita itu tidak termasuk dalam perbuatan yang tidak bermanfaat.

Fikir-fikirkan lah!

Wallahu Taala A’lam.

~kita jumpa di sana….

-----------------------------------------------------------

1. Surah Al-Baqarah : 216

2. Al-Mukminun : 3

3. Tafsir Ibn Kathir - Al-Mukminun : 3

4. Surah Al-Furqan : 72

5. Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam oleh As-Syeikh Hasan An-Nadwi




No comments: