السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

14 January 2012

Doa Iblis Pun Termakbul

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam…

Aku berserah kepadaMu ya Allah!


Aku seorang Muslim.


“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam” |surah Ali-Imran: 19|

“Aku seorang Muslim!”. Ya, apabila seseorang menuturkan lafaz sedemikian, maka dia harus menyerahkan dirinya sepenuh pergantungan kepada Allah Rabbul A’lamin. Allah yang Maha Kuasa, dan Allah yang menentukan segalanya. Begitu juga lafaz “Aku terima Nikahnya”, maka ada tanggungjawab khas bagi seseorang itu berikutan lafaz yang dituturkan lisannya.


Namun demikian, ‘Aku seorang Muslim’ tidaklah bermakna bahawa kita perlu duduk diam sahaja di dalam bilik, dan menerima bulat-bulat apa sahaja yang akan berlaku ke atas kita dengan pasrah. Seperti seorang yang sedang kelaparan berdoa menunggu hidangan jatuh dari langit, tanpa ada usaha sedikit pun untuk mendapatkan makanan tersebut. Seperti seorang pelajar yang mahukan kejayaan yang cemerlang tanpa sedikit pun mengulangkaji pelajarannya. Seperti seorang penyerang bola sepak yang mahukan kasut emas, tetapi tidak bertindak untuk menjaringkan gol, hanya berdoa semata.


Seerah Islam sendiri telah banyak mendidik dan mengajar kita. Sesungguhnya Islam tidak pernah menyimpan seerah melainkan ada pengajaran yang perlu diambil dan dituntuni daripadanya. Apa yang sepatutnya adalah kita berusaha mempersiapkan diri kita dengan apa yang kita mampu terlebih dahulu sebagai hamba, maka barulah yang selebihnya kita memohon kepada Allah Azza Wa Jalla agar Dia menolong apa yang kita tidak mampu, kerana Dialah yang maha Penentu.


Lihat sahaja peristiwa peperangan Badar dan Uhud yang disertai sendiri oleh Nabi junjungan kita Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam. Bukanlah Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam dan para sahabat radiyallahu ‘Anhum Ajma’in hanya duduk di dalam masjid dan berdoa semata memohon kemenangan, tidak. Malah setelah mereka mempersiapkan diri mereka dengan apa yang mereka mampu, memakai baju kebal, berlatih memantapkan pasukan, menyediakan kuda yang terbaik, menajamkan pedang, kemudian berdoalah mereka agar diberikan pertolongan atas apa yang mereka tidak mampu usahakan. Dengan kata lain, perlu ada usaha yang menjadikan doa kita itu termakbul.


Setelah pelbagai usaha yang mampu dilakukan oleh Nabi dan para sahabat ketika itu dalam mempersiapkan segala kelengkapan untuk berperang jihad, maka dengan berkat kegigihan menegakkan Islam dan keimanan yang teguh, ditambah pula dengan pergantungan mereka terhadap Allah yang begitu jitu, Allah perkenankan doa mereka.


إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلآئِكَةِ مُرْدِفِينَ
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut." |surah al-Anfaal: 9|



Sesungguhnya Allah itu dekat.

Alangkah indahnya agama ini, apabila ummahnya meminta sesuatu maka akan diperkenankan dengan izin Allah Jalla Wa ‘Ala. Percayalah Allah tidak pernah menghampakan hambaNya. Allah tidak pernah membebani sesuatu ujian ke atas seseorang hambaNya dengan ujian yang tidak mampu dipikulnya, melainkan Allah menunjukkan jalan keluar daripada bebanan tersebut kepada mereka yang kembali mengadu kepadaNya, dan juga mereka yang bertaqwa di jalanNya.

Pernah suatu ketika kita diuji pelbagai rintangan dan ujian dalam hidup, sehingga kita hampir-hampir berputus asa, namun dengan sifat penyayang Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Dia tetap memberikan kita jalan pemudah untuk kita keluar daripada ujian tersebut, sehinggalah kita masih dapat berpijak lagi di bumi Allah yang luas ini pada hari ini, meneruskan ranjau hidup sebagai hambaNya. Seboleh-bolehnya Allah ingin hamba-hambaNya tahu dan sedar bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berada dekat dengan mereka. FirmanNya:


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. |surah al-Baqarah: 186|


Daripada ayat suci Allah Ta’ala di atas ini juga, untuk seseorang hamba itu mendapatkan hasil yang baik daripada doa yang dilantunkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, ada adab-adab dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh seorang muslim itu sendiri. Seperti yang dinyatakan, memenuhi segala perintah Allah dan beriman kepadaNya.


Kisah para Sahabat, pengajaran daripada mereka.

Pernah satu ketika Abu Hurairah Radiyallahu ‘Anh mendatangi Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam sambil menangis dan berkata: “Sesungguhnya aku telah mengajak ibuku untuk memeluk Islam, tetapi dia tidak mahu, dan aku juga telah mengajaknya pada hari ini tetapi dia telah memperdengarkan kepadaku tentang engkau dengan apa yang aku benci, maka doakanlah agar Allah memberi hidayah kepada ibu Abu Hurairah”.


Kemudian Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam pun berdoa: اللهم ( اهدي ) أم أبي هريرة , ‘Ya Allah berikanlah hidayah kepada ummu Abi Hurairah’. Dan Abu Hurairah pun segera meninggalkan Nabi sebaik sahaja doa itu diucapkan dan pulang ke rumahnya. Apabila tiba di rumahnya, ibu Abu Hurairah seraya memeluk Islam dengan mengucap, أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.


Masha Allah, mungkin kita tidak merasakan sangat betapa mustajabnya doa Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam kerana Baginda adalah Nabi. Tetapi apa pula hikmahnya bahawa Allah Subhanahu Wa Taala mengutuskan Nabi yang juga daripada kalangan manusia. Ya, doa itu ada adab-adabnya supaya ia menjadi mustajab. Di antara kita dengan Allah ada tali (حبل) yang menjadi penghubungnya. Taat kepada ibubapa, solat lima waktu diserikan lagi dengan solat sunat, puasa, membaca al-Quran, mencari yang halal dan meninggalkan yang haram, itu semua menguatkan lagi tali hubungan kita dengan Allah Rabbul ‘Azeem.


Daripada Ibn Abbas radiyallahu ‘Anhu, suatu hari Sa’ad Bin Abi Waqqas radiyallahu ‘Anhu datang berjumpa Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam, meminta Nabi mendoakan agar semua doa-doa yang diucapkan oleh Sa’ad Bin Abi Waqqas dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


ادع الله أن يجعلني مستجاب الدعوة فقال له النبي صلى الله عليه و سلم يا سعد أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة
“Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku orang yang sentiasa dimustajabkan doa”. Maka Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam pun berkata: “Wahai Sa’ad, bersihkanlah makanan kamu, dan ia akan menjadikan doa kamu itu mustajab”.



Cuba kita fikirkan, boleh sahaja kalau Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam terus berdoa apa yang diminta oleh Sa’ad Bin Abi Waqqas supaya apa sahaja yang didoakannya akan dimakbulkan Allah, sepertimana permintaan Abu Hurairah radiayallah ‘anhu pada hadith sebelum, meminta agar Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam mendoakan ibunya mendapat hidayah, itupun setelah Abu Hurairah beberapa kali telah mengusahakannya. Namun tidak semudah itu, ada syarat-syarat tertentu untuk menjadikan doa kita dimakbulkan.


Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam apabila berinteraksi dengan para sahabat radiyallahu ‘Anhum, Baginda tidak mahu para sahabat hanya bergantung kepada doa Baginda kerana bukanlah tujuan Baginda diutuskan untuk menjadikan manusia sebagai tempat pergantungan, tetapi Allah lah sebaik-baik tempat bergantung dan mengadu. Oleh kerana itu, perlu mantap dan eratkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebagai asbab doa kita diterima.


Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam menyuruh Sa’ad supaya menjaga pemakanannya. Selepas daripada itu, Sa’ad Bin Abi Waqqas sangat teliti dalam menjaga pemakanannya dan sentiasa memastikan rezeki yang diperolehinya benar-benar halal dan bersih. Sa’ad Bin Abi Waqqas yang selalunya meminum susu kambing yang dimilikinya di rumah, apabila beliau mendapati bahawa kambingnya telah memakan tanaman jirannya tanpa meminta izin, Sa’ad Bin Abi Waqqas tidak lagi meminum susu kambingnya itu sehinggalah beliau meninggal. Subhanallah.

Bagaimana pula kita dalam mencontohi para sahabat radiyallahu ‘Anhum Ajma’in. Itu baru sahaja daripada satu sudut, dan bagaimana pula kita dalam menjaga rezeki yang kita perolehi? Adakah harta kita bebas daripada riba’? Adakah bebas daripada rasuah? Adakah kita benar-benar hanya mengambil hak kita, ataupun kita pernah mengambil hak orang lain? Ya Allah, sucikanlah harta-harta kami daripada kekotoran.



Renungkan pula kisah Rabi’ah Bin Ka’ab al-Aslamiy radiyahu ‘Anh, yang memohon kepada Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam agar beliau menjadi pengiring kepada Nabi di syurga nanti. Siapa yang tidak mahu, bukan?


أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ ، قَالَ : أَوَ غَيْرَ ذَلِكَ قُلْتُ : هُوَ ذَاكَ ، قَالَ : فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ.
Rabi’ah berkata kepada Nabi: “Aku mohon kepadamu agar aku dapat menjadi pengiringmu di syurga”, Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam berkata: “Atau ada yang lain lagi?”, Rabi’ah menjawab: “Itu saja”. Kemudian Nabi pun berkata: “Maka tolonglah aku dengan memperbanyakkan dirimu dengan sujud”. |Hadith riwayat Muslim|


Boleh sahaja sekiranya Baginda Sallallahu Alayhi Wasallam terus mengangkat tangan dengan mendoakan agar Rabi’ah Bin Ka’ab ini menjadi pengiring Baginda di syurga nanti. Tetapi apa yang Nabi pesan kepada Rabi’ah adalah supaya Rabi’ah memperbanyakkan sujud. Maka dengan memperbanyakkan sujud itu jugalah membuatkan doa kita menjadi lebih mustajab Inshalla.



Tidak gopoh dalam meminta.

Ada orang mungkin berdoa ketika ia bertahajjud, dan mengharapkan doa itu dimakbulkan selepas solat Subuh. Ada orang mungkin berdoa ketika ia solat Dhuha, dan mengharapkan doa itu dimakbulkan sebelum Zohor. Ada orang berdoa hari ini, dan mengharapkan doa itu dimakbulkan sehari selepas, seminggu selepas, atau sebulan selepas dia berdoa. Ingatlah apabila kita sedikit gopoh dalam meminta, ia akan menjadikan kita cepat berputus asa.


Perlu yakin bahawa setiap apa yang kita doakan, ia tidak akan pergi atau hilang begitu sahaja. Kata Arab, ‘La yazhab bi balasy’. Yakinlah bahawa Allah mendengar rintihan kita, dan akan memperkenankan permintaan kita, selagi kita tidak gopoh dalam memohonnya. Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu” |surah al-Ghafir: 60|.


Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘Anh, bahawa Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda:

يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ رَبِّى فَلَمْ يَسْتَجِبْ لِى
“Diperkenankan (doa) bagi seseorang selagi dia tidak gopoh dan mengatakan aku telah berdoa kepada Tuhanku tetapi dia masih tidak memakbulkan untukku”. |Muttafaqun Alayh|


Dalam satu hadith lain sahabat bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الاِسْتِعْجَالُ؟ قَالَ يَقُولُ : قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِى فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ
“Wahai Rasulullah apakah itu Isti’jal (gopoh)?” Nabi menjawab: “Seorang yang berkata: Aku dah berdoa dan aku dah berdoa, tetapi doaku tidak dimakbulkan. Maka dia pun berasa jemu dengan perkara itu dan meninggalkan (berhenti) doanya”. |Hadith riwayat Muslim|


Subhanallah. Jadilah kita hamba yang sentiasa bersangka baik terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jangan sesekali menganggap bahawa setiap permintaan atau doa kita itu seperti mee segera, dua minit sudah boleh menikmati kelazatannya, tidak. Sesungguhnya Allah rindu mendengar rintihan hamba-hambaNya. Allah sangat suka apabila hamba-hambaNya kembali kepadaNya, meminta daripadaNya, memuji kebesaranNya. Bersyukur dengan kelebihan, redha dengan kekurangan.

Pelbagai uslub dan gaya bahasa rintihan yang boleh kita gunakan dalam berdoa memohon sesuatu daripada Allah. Sebagai contoh kita memuji Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan nama-nama agungNya yang sesuai dengan sifatNya yang khusus dengan doa yang hendak kita tujukan. Firman Allah Azza Wa Jal dalam Kitab Agung:


وَلِلَّهِ الآسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan bagi Allah asmaaul husna (nama-nama agung yang sesuai dengan sifat Allah), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaaul husna itu”. |surah al-A’raaf: 180|


Ya Razzaq, berikanlah aku rezeki. Ya Ghaniy, kayakanlah aku. Ya Syafi, sembuhkanlah aku. Ya Rahim, kasihanilah aku.

Moga kita dikurniakan kesungguhan dalam berdoa. Kesungguhan dalam berdoa datang apabila kita betul-betul faham apa yang kita minta. Tidaklah berdosa sekiranya kita berdoa dalam bahasa ibunda kita, sesungguhnya Dia maha Memahami, dan Dialah juga yang mencipta kepelbagaian bahasa. Malah lebih baik berdoa dalam bahasa yang kita fahami, daripada menghafal doa yang kita pun tidak tahu maknanya dan tidak tahu apa yang kita minta. Agama kita bukan agama menghafal, tapi yang lebih penting itu memahami.


Mereka juga berdoa sesuatu..


Tidak jemu, yakin doa akan dimakbulkan.

Saya kira cukup jelas di sini sekiranya kita menghayati kisah-kisah doa para Nabi yang termaktub di dalam al-Quran al-Kareem. Tidaklah Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu menurunkan satu ayat dengan sia-sia, sejarah Nabi-nabi terdahulu mahupun kaum-kaum yang binasa, melainkan ia menjadi pengajaran dan motivasi bagi mereka yang celik hatinya. Awal surah Maryam cukup indah untuk kita tadabbur, bagaimana doa seorang Nabi Allah, Zakaria Alayhi as-Salam yang tidak pernah jemu merintih sehingga lanjut usia.


____________________________________________________________

ذِكْرُ رَحْمَةِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا
(Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hambaNya, Zakaria.


إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا
Iaitu tatkala ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut.


قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا

Ia berkata "Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku.”


وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا
Dan sesungguhnya aku bimbang terhadap siapa yang akan menyambung peninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahkanlah aku dari sisi Engkau seorang putera.


يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا
“Yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub; dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai.”


يَا زَكَرِيَّا إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلاَمٍ اسْمُهُ يَحْيَى لَمْ نَجْعَلْ لَهُ مِنْ قَبْلُ سَمِيًّا
Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.


قَالَ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي غُلاَمٌ وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ الْكِبَرِ عِتِيًّا
Zakaria berkata: "Ya Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya sudah mencapai umur yang sangat tua."


قَالَ كَذَلِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ قَبْلُ وَلَمْ تَكُ شَيْئًا
Tuhan berfirman: "Demikianlah." Tuhan berfirman: "Hal itu adalah mudah bagi-Ku, dan sesungguhnya telah Aku ciptakan kamu sebelum itu, padahal kamu (di waktu itu) belum ada sama sekali."


|surah Maryam: 2 – 9 |

____________________________________________________________


Doa itu sesuatu yang ajaib bukan? Selagi kita tidak berputus asa dan sentiasa yakin dengan Allah. Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria alayhi as-Salam yang tidak pernah kecewa dalam berdoa, biarpun umur sudah mencecah 100 tahun, isterinya pula mandul, memohon supaya Allah mengurniakan mereka seorang putera untuk meneruskan perjuangan murni mengesakan Allah. Kemudian Allah memberi berita gembira kepada Zakaria bahawa beliau akan mendapat seorang anak, malah Allah sendiri yang menamakannya Yahya alayhi as-Salam. Tidak cukup dengan itu, Allah menceritakan lagi pada ayat 12 hingga 15, kelebihan dan sifat terpuji putera yang diidamkan Zakaria alayhi as-Salam itu.

Nabi Musa alayhi as-Salam pernah berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala supaya Allah membinasakan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya, yang mana doa ini di aminkan sendiri oleh saudaranya Harun alayhi as-Salam. Dalam tafsir Ibn Kathir menyebut bahawa setelah 40 tahun berlalu, maka barulah Allah memakbulkan doa Nabi Musa alayhi as-Salam tersebut dengan firmanNya:


قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلاَ تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui." |surah Yunus: 89|


Bagaimana pula cerita Nabi Yunus alayhi as-Salam yang ditelan dalam perut ikan yang besar kerana lari meninggalkan kaumnya. Yang mana Allah menjanjikan bahawa sekiranya Nabi Yunus alayhi as-Salam tidak berdoa mengingati Allah dan memohon keampunan, maka beliau akan kekal dalam perut itu sehingga hari kebangkitan kelak. Boleh tadabbur surah Shoffaat 142 hingga 144.


Prinsip hamba yang berdoa.

Berkata Abu Sa’id al-Khudry radiyallahu ‘Anh bahawa Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ ، وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ : إِمَّا أَنْ يُعَجِّلَ لَهُ دَعْوَتَهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَكُفَّ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ بِمِثْلِهَا ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ يَا رَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ.
“Tidak ada seorang muslim yang berdoa dengan doa yang bebas daripada dosa dan bebas daripada memutuskan kasih sayang sesama muslim, melainkan Allah akan menganugerahkannya antara tiga: Sama ada doa itu terus dimakbulkan, sama ada doa itu Allah menangguhkannya untuk hari Akhirat nanti, dan sama ada dengan doa itu Allah menghilangkan/menghentikan keburukan yang sama sepertinya”. Mereka berkata: “Jadi adakah kita memperbanyakkan doa wahai Rasulullah?” Nabi bersabda: “Malah Allah lebih suka (dengan memperbanyakkan doa)”. |hadith riwayat Imam Ahmad, Bazzar|.


1. Doa kita terus dimakbulkan: Alhamdulillah, segala pujian hanya bagiMu yang mendengar rintihan ini, lantas memperkenankannya. Seperti kita berdoa memohon agar dipermudahkan menjawab peperiksaan, thumma Alhamdulillah kita dapat menjawabnya dengan tenang, setelah usaha yang kita korbankan.

2. Doa kita ditangguhkan untuk hari Akhirat: Percayalah bahawa Allah akan memberikan kita yang lebih baik di sana. Mungkin apa yang kita minta itu baik untuk kita, tetapi Allah sahajalah yang tahu apa kesudahannya. Pergantungan kita kepadaNya haruslah tidak berbelah bagi. Mungkin kita berdoa inginkan kejayaan yang cemerlang, tetapi Allah menangguhkan permintaan itu kerana sifat kita yang mudah riak dengan kelebihan. Maka lebih baik ditangguhkan lantas kita mengecapi kejayaan yang sebenar di sana.

3. Allah menghilangkan sesuatu keburukan dalam masa yang sama: Kita berdoa agar anak kita cepat sembuh daripada penyakit kronik. Tetapi setelah sebulan kita mendapati bahawa masih tiada lagi tanda-tanda untuk anak kita sembuh. Walhal dengan doa kita itu, sebenarnya Allah telah pun menghentikan satu atau lebih penyakit sampingan yang sepatutnya berlanjutan daripada penyakit kronik yang sedang dihadapi anak itu.


Sahabat: Syazwan Osman di Arafah.


Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘Anhu, bahawa Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda:

ادْعُوا الله وأنتم مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أن الله لا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً من قلب غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah sementara kalian yakin doa kalian akan dikabulkan. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan lengah” |Hadith Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim|


Bersungguh-sungguhlah kita dalam berdoa. Yakin dan optimis bahawa doa kita akan dijawab. Kita punya Allah yang maha Mendengar, kita punya Allah yang maha Penyayang. Tuhan yang tidak pernah menghampakan hamba-hambaNya.



Doa Iblis pun dimakbulkanNya.

Ya, kita punya Allah yang tidak pernah menghampakan hambaNya. Malah doa Iblis pun Allah perkenankan. Kerana mereka pernah beribadah sebelum mereka enggan sujud kepada Adam Alayhi as-Salam. Bagaimana Allah memakbulkan doanya, firmanNya ini menceritakan segalanya:


____________________________________________________________


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلاَّ تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah."


قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَنْ تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَاخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ الصَّاغِرِينَ
Allah berfirman: "Turunlah kamu dari syurga itu, kerana kamu menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk dalam golongan mereka yang hina."


قَالَ أَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Iblis menjawab: "Berilah penangguhan kepada aku [*] , sampai waktu mereka dibangkitkan."

[*]. Maksudnya: janganlah aku dan anak cucuku dimatikan sampai hari kiamat sehingga aku berkesempatan menggoda Adam dan anak cucunya.


قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ

Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi penangguhan."


قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ
Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.


ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ
kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).


|surah al-A’raaf: 12 – 17 |

____________________________________________________________


Begitulah kisah di mana Allah memperkenankan permintaan Iblis supaya diberi kehidupan sehinggalah hari kiamat nanti atas sebab ibadah dan tunduk mereka sebelum mereka ingkar untuk sujud kepada Adam Alayhi as-Salam, sehingga Allah mengeluarkan mereka daripada syurga kerana kesombongan dan keangkuhannya.

Daripada kisah ini juga, kita boleh berdoa bersungguh-sungguh serta meyakini bahawa dengan kebaikan yang pernah kita lakukan dengan ikhlas sebelum ini, Allah akan memperkenankan doa kita. Bererti kita berdoa dengan menyebut amalan kebaikan yang pernah kita kerjakan, mudah-mudahan dengan amalan itu sedikit sebanyak menjadi asbab doa kita dimakbulkan, Inshalla.


Sheikh Ahmad al-Manna’i (berkacamata hitam) & Dr Ashraf Bani Kinanah. Ketika kami sempat menyertai sebuah forum Sunnah di Aydoun, Irbid Jordan.


*Teringat pesanan Sheikh Ahmad al-Manna’i Hafizahullah, seorang tokoh sunnah yang tersohor di Bumi Syam Jordan. Beliau juga seorang yang buta. Ketika saya sempat pergi umrah bersamanya 10 malam terakhir Ramadhan 1431H, beliau ada berpesan bahawa apabila pertama kali melihat Kaabah, doa yang pertama mintalah kepada Allah supaya Allah makbulkan segala doa kita selepas itu, kerana doa pertama Inshalla dimakbulkan. Mungkin itu pesanan yang lahir dari hati Sheikh yang telus kepada mereka yang dapat melihat Kaabah dengan mata kasar mereka sendiri.


Moga bermanfaat dan terus optimis berdoa.


Wallahu A’lam, Wassalam.


Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |20 Safar 1433H|



2 comments:

azlanshah said...

terbaik! Motivated!

Anonymous said...

Hmm is anyone else experiencing problems with the pictures
on this blog loading? I'm trying to find out if its a problem on my end or if it's the blog.
Any responses would be greatly appreciated.

Visit my web page: the tao of badass