السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

05 January 2012

Harga Sebenih Khair

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.
Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula."|99:7-8|


Bismillah, semalam sempat saya isikan jadual saya dengan menziarahi wall-wall Facebook yang tersenarai dalam friends list saya, bermakna sesiapa sahaja yang menjadi rakan saya di laman Facebook. Mana tahu kalau-kalau ada kata-kata pembakar semangat yang menyuntik jiwa, atau perkongsian menarik yang boleh memberi manfaat, ataupun gambar-gambar kenangan sahabat untuk mengubat kerinduan. Inshallah niat yang baik akan dibalas dengan yang baik.

Ya, setiap apa yang kita lakukan pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Sama ada yang tersurat tersedia rapi, ataupun yang tersirat yang perlu dicari. Dalam sibuk meneliti satu persatu wall-wall Facebook itu, satu perkara yang agak menyentuh lubuk hati ini adalah apabila mendapati beberapa tuan empunya Facebook telah pun meninggalkan kita buat selama-lamanya, yang tinggal hanyalah akaun Facebook mereka sahaja. Ada akaun yang masih boleh dilihat ke semua aktiviti mereka semasa hayat mereka di dunia ini, dan ada juga yang sudah ditutup hanya tinggal akaun semata-mata.

Lebih tersentuh apabila mendapati usia mereka yang lebih muda daripada saya lebih ramai ‘pergi dahulu’ berbanding yang lebih tua. Cukup untuk mengingatkan diri saya dan anda semua, betapa kematian datang tepat pada masanya, tidak cepat dan tidak lambat. Firman Allah Jalla Wa’ala:


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ

"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaat pun dan tidak dapat pula mempercepatkannnya." |Surah al-A’raaf:34|


Perasaan membuak ingin membaca status-status facebook mereka dan apa yang mereka kongsikan dengan kita semasa mereka masih menghela nafas kurniaanNya. Alhamdulillah tersenyum seketika, apabila mendapati tersusun nasihat-nasihat yang berguna, kata-kata semangat yang membina, tak kurang juga links dan notes yang bermanfaat untuk semua. Dan saya kira untunglah mereka dengan apa yang mereka tinggalkan, sehingga sekarang masih boleh dibaca bukan sekadar untuk tatapan, malah lebih daripada itu, untuk pedoman kehidupan.

Mungkin kerana itu jugalah pemergian mereka amatlah dirasai, biarpun sudah lama pergi namun sehingga ke hari ini masih ada yang menghantar wallpost menyatakan kerinduan dan mendoakan jannah yang diimpikan, Ameen. Semoga Allah mengganjari pahala kepada mereka semua dari sekecil-kecil kebaikan yang mereka lakukan sehinggalah sebesar-besarnya.


"Ya Allah ya Tuhan, Janganlah Kau keluarkan aku dari dunia ini sehingga Kau meredhai aku."


عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه قال : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :

كُلُّ سُلاَمَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ عَلَيْهِ الشَّمْسُ، تَعْدِلُ بَيْنَ الاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ قَالَ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ وَكُلُّ خُطْوَةٍ يَخْطُوْهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ وَيُمِيطُ الأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ. رواه البخاري ومسلم

Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu beliau berkata: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam telah bersabda:

“Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari, engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, engkau membantu seseorang naik kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang engkau hayunkan kaki pergi sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di jalanraya adalah sedekah.” |Hadith riwayat Bukhari dan Muslim|


Lanjutan daripada itu, teringat kembali apabila pernah tersentak menonton video ini, sedikit sedutan daripada ceramah yang disampaikan oleh Syeikh ‘Arifi hafizahullah, tentang ganjaran/balasan terhadap amalan kita yang berterusan kerana kita adalah apa yang kita juga tinggalkan.


إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآَثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas (kesan-kesan) yang mereka tinggalkan. Dan setiap sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata (Lauh Mahfuzh).” |Surah Yaasin:12|


Hanya 3 mint 21 saat, MUST WATCH.


Semoga Allah memberi kita petunjuk yang berterusan, dan terus melangkah ke arah kebaikan. Dalam hidup kita ini, betapa banyaknya kita mendapati bahawa agama Islam itu begitu indah. Dalam hidup kita ini, betapa banyaknya kita mendapati bahawa Allah itu begitu Maha Pemurah. Cukup rasanya di sini untuk saya sertakan salah satu keindahan Islam dengan firman Allah Jalla wa ‘Ala dan sabda Baginda Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam.


إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

"Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." |Surah Hud:114|


عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُ مَا كُنْتَ ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا ، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ. رواه الترمذي وقال هذا حديث حسن صحيح .

Daripada Abu Zhar radiyallahu ‘anhu berkata bahawa Baginda Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda kepadaku:
“Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.” |Hadith riwayat Tirmidzi dengan status hadith hasan sohih|


Agak sukar untuk kita jumpa tawaran yang hebat sebegini. Jauh lebih hebat daripada tawaran beli 1 percuma 1 yang banyak diiklankan oleh kedai-kedai pakaian dan beg sekolah sempena ‘Back to School’. Mana tidaknya, kita buat satu kebaikan, bukannya hanya mendapat pahala di sisi Allah, malah dihapuskan pula dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Lihatlah bagaimana Allah menunjukkan kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya.


So apa tunggu lagi, jom kejar kebaikan. Lets spread and share the Khair. What you give, you get back, Inshalla.


*Sekadar muhasabah diri sendiri, moga Allah mengampuni dosa-dosa kita muslimeen dan muslimat, mukmineen dan mukminat, sama ada yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia, Allahummaghfirlana waghfirlahum.


Wallahu A’lam, Wassalam.



Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |11 Safar 1433H|



No comments: