السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

26 August 2009

Peluang: INCEIF tawar 70 biasiswa ikuti kursus sarjana, PhD

Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) ditubuhkan inisiatif Bank Negara Malaysia, menawarkan 70 biasiswa mengikuti pengajian sarjana dan doktor falsafah (PhD) bagi sesi pengambilan 2010.

Daripada jumlah itu, masing-masing 35 biasiswa untuk pelajar tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Akademiknya, Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi, berkata selain biasiswa, pelajar layak juga akan diberikan elaun RM2,200 sebulan selama setahun daripada tempoh pengajian satu tahun setengah.

Sambil menjelaskan tempoh pengajian itu termasuk latihan industri di bank tempatan menawarkan perbankan Islam, bursa saham, dan syarikat takaful, beliau berkata;

“INCEIF bertaraf universiti ini adalah tempat terbaik graduan ijazah pertama menukar bidang jika berminat dengan sektor berkaitan kewangan Islam.”

“Kami menerima lulusan pelbagai bidang dengan syarat mereka mendapat kelas pertama atau kedua tinggi dan penguasaan bahasa Inggeris sangat baik.”

“Walaupun ia kursus yang agak sukar, dengan pemilihan pelajar baik dari dalam mahupun luar negara, saya yakin universiti ini mampu menghasilkan profesional bidang kewangan Islam dan pulangannya pula sangat berbaloi.” 

                                   


Sebagai contoh, Syed Othman berkata, kohort pertama konvokesyen Februari lalu membabitkan 32 graduan Certified Islamic Finance Professional (CIFP), ada antara mereka dibayar gaji mencecah RM10,000 sebulan selepas memiliki Sijil Kepakaran Kewangan Islam itu.

Beliau berkata, pengajian sarjana dan PhD di INCEIF agak unik kerana tiada universiti lain di dunia termasuk yang tertua memperkenalkan banyak kursus pascaijazah.

“Kami mempunyai lebih 20 kursus berkaitan pengajian kewangan Islam dan bagi peringkat sarjana, pelajar perlu mengambil sekurang-kurangnya 13 kursus dengan projek.”

“Antara kursus yang perlu diambil ialah Syariah, Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Pasaran Modal Islam, Pengurusan Portfolio, Metodologi Penyelidikan, Takaful dan Pengurusan Harta.”

“Di sini tiada ijazah pertama, walaupun CIFP namanya sijil profesional, ia sebenarnya sama taraf dengan sarjana di tempat lain dan pelajar boleh terus mengambil PhD sama ada melalui penyelidikan atau kerja kursus dan disertasi,”katanya.

Mengenai kelebihan sektor kewangan Islam berbanding konvensional, katanya, ia bidang baru paling cepat berkembang di dunia dan ramai bukan Islam menunjukkan minat menyertainya.

Beliau berkata, antara syarikat kewangan turut menghantar kakitangan mengikuti pengajian sepenuh masa di pusat itu ialah Maybank, CIMB, EON Bank, Affin Bank dan syarikat takaful.

“Kini kami mempunyai lebih 1,400 pelajar dan untuk CIFP saja lebih 1,200 dari seluruh dunia. Keterangan lanjut mengenai pengajian di sini, layari www.inceif.org,”katanya.

Sumber: Berita Harian, Selasa 25 Ogos 2009, Pendidikan, m/s 15.



2 comments:

+akufobia+ said...

nak join ke nanti?

Lilas Conuts said...

Hello from Nouméa
Sorry I can't read your writtings