السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

26 January 2009

Solat Sunat Gerhana..Sanggupkah mengabaikannya?

oleh : amin al-bumbuni

   Sebaik sahaja selesai memberi salam kedua solat sunat ba’diyah isyak semalam, kedua-dua mata ini tertarik kepada papan kenyataan dalam tulisan jawi :

__________________________________________________ 
فرهاتين, فد هاري إثنين 26 جانواري, فوكول 5.30 فتغ, سوراو اين اكن مغاداكن صلاة سنة كرهان ماتهاري سجارا برجماعه. دهارف سموا فارا جماعه سيلا داتغ براماي2 برصلاة عصر دسوراو اين فد هاري ترسبوت دان سلفس صلاة عصر, إمام اكن ممبري تعليمات بركناءن جارا2 صلاة سنة كرهان ايت. سكيان هارف معلوم 

“Perhatian, pada hari Isnin 26 Januari, pukul 5.30 petang, surau ini akan mengadakan solat sunat gerhana matahari secara berjemaah. Diharap semua para jemaah sila datang beramai-ramai bersolat asar di surau ini pada hari tersebut dan selepas solat asar, imam akan memberi taklimat berkenaan cara-cara solat sunat gerhana itu. Sekian harap maklum."
_____________________________________________________

Begitulah catatan yang termaktub pada papan kenyataan surau. Sedar tak sedar, rupa-rupanya dunia kita ini akan melihat satu fenomena gerhana matahari pada hari ini (hari saya post artikel ini ) bi masyiatillah. Bercakap tentang gerhana matahari ini, apa sebenarnya ia? Bagaimana ia boleh berlaku?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer. 

  

Gerhana matahari boleh dibahagi kepada 3 iaitu gerhana penuh, gerhana separuh, dan gerhana analus. Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana analus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai'corona'. 

Gerhana matahari berlaku selama 7 minit 30 saat pada tempat yang paling lama. Ketika gerhana matahari, orang ramai dilarang melihat ke arah matahari secara langsung kerana ini boleh merosakkan mata dan mengakibatkan buta. 

Bagi mereka yang beragama Islam, mereka digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana. 


http://ms.wikipedia.org/wiki/Gerhana_matahari 

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Hukum Solat Gerhana

Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Irbid Jordan mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Muharram 1430, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku di Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana. 


Dalil Pensyariatan 
Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil daripada :

(1) Firman Allah Jalla Wa ‘Ala ;


لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”. [1]


   

(2) Sabda Baginda sallahu alaihi wasallam ;


إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ، يُخَوِّفُ اللهُ بِهِمَا عِبَادَهُ، وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنَ النَّاسِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئاً فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ 

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Allah menakutkan dengan keduanya akan hamba-hambaNya. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana dengan sebab kematian seorang dari manusia. Oleh demikian, apabila kamu melihat sesuatu darinya (yakni menyaksikan sesuatu terjadi pada matahari atau bulan itu), maka hendaklah kamu tunaikan solat dan berdoa kepada Allah sehingga habis gerhana itu”.[2] 
   
Tata-cara solat Sunat Gerhana

1. Tiada Azan atau Iqomat.


Hujahnya: Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqomah bagi solat gerhana [3]. Apa yang disunnahkan[4] ialah dengan bersuara kuat menyeru dengan seruan " Ash-Shalaatu Jaami'ah". Yang menjadi dalil bagi hal tersebut adalah apa yang ditegaskan dari Abdullah bin Amr ,dia berkata : "Ketika terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullahs.a.w diserukan : Innash Shalaata Jaami'ah" Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani.[5] 

2. Jumlah Rakaat adalah dua.

Solat sunat ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Ada dua kali sujud dan dua kali ruku’ pada setiap rakaat. Jadinya ada empat sujud dan empat ruku’ bagi solat sunat gerhana dua rakaat ini.


Cara: Semasa rakaat pertama selepas selesai membaca surah al-fatihah dan apa-apa surah dari Quran berdiri lama seketika sebelum ruku’, kemudian barulah ruku’. Bacaan semasa ruku' macam biasa, semasa ruku ini juga perlu ruku’ dengan lama. Kemudian berdiri semula, dan baca al-Fatihah lagi dan apa-apa surah dari Quran (yang sunnahnya jika pada berdiri pertama itu membaca surah yang panjang, dan berdiri yang kedua itu dibaca surah yang pendek sedikit dari yang pertama). Berdiri yang kedua ini tidak lama seperti berdirinya yang pertama, kemudian ruku’, dan ruku’ ini juga tidak lama seperti lamanya ruku’ pertama tadi. Bacaan tetap seperti biasa yang dibaca semasa solat fardhu.

Kemudian sujud seperti biasa iaitu dua kali sujud, cumanya disunnahkan memanjangkan sujud pertama dari sujud kedua. Setelah sujud, kemudian naik seperti mana rakaat pertama. Dan ulang kembali sepertimana yang dilakukan semasa rakaat pertama. Sehingga selesai solat sunat Gerhana. 


Dalilnya: 

Hadith dari Ibnu Abbas, dia berkata: 
"Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun berdiri dengan waktu yang panjang sepanjang bacaan surah Al-Baqarah. Kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang cukup panjang, lalu beliau bangkit dan berdiri dalam waktu yang lama juga (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang lama (ruku’ yang lebih pendek dari’ ruku pertama).

Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berdiri dalam waktu yang lama (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Seterusnya, beliau ruku dengan ruku yang lama ( ruku yang lebih pendek dari ruku pertama). Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berpusing, sedang matahari telah muncul. Maka beliau bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga karena kehidupan seseorang. Oleh karena itu, jika kalian melihat hal tersebut, maka berdzikirlah kepada Allah"

Shalat Pictures, Images and Photosdoa Pictures, Images and Photos


Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu di tempat berdirimu, kemudian kami melihatmu mundur ke belakang". Beliau bersabda. "Ertinya : Sesungguhnya aku melihat Syurga, maka aku berusaha mengambil setandan (buah-buahan). Seandainya aku berhasil meraihnya, niscaya kalian akan dapat memakannya selama dunia ini masih ada. Dan aku juga melihat Neraka, aku sama sekali tidak pernah melihat pemandangan yang lebih menyeramkan dari pemandangan hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita". 

Para sahabat bertanya, "Kerana apa, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Kerana kekufuran mereka". Ada yang bertanya "Apakah mereka kufur kepada Allah?". Beliau menjawab. "Ertinya : Mereka kufur kepada keluarganya (suaminya), dan kufur terhadap kebaikan (tidak berterima kasih). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka sepanjang waktu, lalu dia melihat sesuatu (kesalahan) darimu, niscaya dia akan mengatakan : "Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikitpun darimu"
[6]

3. Mengeraskan suara (jahar) semasa solat sunat Gerhana.

Dalilnya: Dari Aisyah ra: Nabi s.a.w menjaharkan(mengeraskan) bacaannya dalam solat Gerhana. Jika selesai dari bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku’. Dan jika dia bangkit ruku’, maka beliau berucap : "Sami Allaahu liman Hamidah. Rabbana lakal hamdu". Kemudian beliau kembali mengulang bacaan dalam solat gerhana. Empat ruku dalam dua rakaat dan empat sujud."
[7]

Namun begitu, bagi solat gerhana bulan, bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperdengarkan dan bagi solat gerhana matahari, sunat diperlahankan bacaan sebagaimana solat-solat fardhu di waktu siang.
 


4. Solat Sunat Gerhana ini dilakukan secara Jamaah di Masjid 

Dalilnya: sebuah riwayat hadith dari Aisyah, dia berkata, "Pada masa hidup Rasulullah pernah terjadi gerhana matahari, lalu beliau pergi ke masjid, kemudian beliau berdiri dan bertakbir, dan orang-orang pun membuat barisan di belakang beliau.
[8] 
Solat sunat gerhana harus dilakukan bersendirian, namun disunatkan agar dilakukan secara berjamaah. Sunat mengajak orang ramai untuk melakukannya dengan melaungkan “
الصلاة جامعة” (Marilah tunaikan solat secara berjamaah).

5. Menyampaikan khutbah

Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang. Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah). 

Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. 

Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).

   
> wallahu a'lam
> amin albumbuni
> 29 Muharram 1430H
> Segamat


--------------------------------------------- 
[1] Surah Fussilat, ayat 37

[2] Dikeluarkan oleh Muslim, bab zikr An-nida bi solatil khusuf Assolatu Jami’atun. (1516)

[3] Fathul Baari (II/533) dan Masuu'atul Ijmaa (I/696)

[4] Syarhul Umdah, karya Ibnu Daqiqil Ied (II/135-136). Dan juga kitab Fathul Baari (II/533).

[5] Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab An-Nidaa bis Shalaati Jaami'ah fil Kusuuf (hadits no. 1045). Dan lafazh di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Dzikrun Nidaa bi Shalaatil Kusuuf : Ash-Shalaatu Jaami'ah, (hadith no. 910). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/178)

[6] Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatil Kusuuf Jama'atan, (hadits no. 1052), dan lafaz di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Maa 'Aradha Alan Nabi صلی الله عليه وسلم fii Shalaatil Kusuuf min Amril Jannah wan Naar, (hadits no. 907). Dan lihat kitab. Jaami'ul Ushuul (VI/173).

[7] Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, di antaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Al-Jahr bil Qiraa'ah fil Kusuuf, (hadits no. 1065) dan lafaz diatas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatul Kusuuf, (hadits no. 901). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/156). Takhrij hadith ini telah diberikan sebelumnya, tanpa memberi isyarat kepada riwayat ini.

[8] Al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya : Bab : Shalatul Kusuuf fil Masjid. Di dalamnya disebutkan hadith Aisyah رضي الله عنها di atas dengan riwayat yang didalamnya terdapat ucapannya : "Kemudian pada suatu pagi Rasulullah صلی الله عليه وسلم menaiki kendaraan, lalu terjadilah gerhana matahari. Kemudian beliau pulang kembali pada waktu Dhuha, maka beliau pun berjalan di antara rumah-rumah isteri beliau . (hadith no. 1056). 





No comments: