السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

27 April 2009

Renungan buat yang menyampaikan



Assalamualaikum…


Sekadar renungan untuk diri saya sendiri terutamanya, para pendakwah, para penyampai, pegawai kerajaan dan swasta, penulis-penulis blog dan seumpamanya, saudara muslimin dan saudari muslimat, serta sekalian umat yang berpijak di atas Bumi yang nyata ini.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لاَ تَفْعَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Surah As-Saaf : 2)


كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ

Maksudnya: Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (Surah As-Saaf : 3)


أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berfikir? (Surah Al-Baqarah : 44)


عَنْ أُسَامَة قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلاَنُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ. (رَوَاهُ غُنْدَرٌ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ الأَعْمَشِ(

Dari Usamah Radiyallahu Anhu katanya: Aku mendengar Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bersabda:

“Ada seorang lelaki dihadapkan pada hari kiamat, lalu dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya, kemudian ia berputar-putar sebagaimana keldai berputar-putar di sekitar gilingan. Lalu berkumpullah segala isi neraka di sekelilingnya, sambil berkata: “Hai Fulan! Bagaimana keadaan engkau? Bukankah engkau pernah menyuruh kami berbuat baik dan melarang kami berbuat jahat?” Jawab orang itu: “Aku pernah menyuruh kamu berbuat baik, tetapi aku sendiri tiada mengerjakannya. Aku pernah mencegah kamu berbuat jahat, tetapi aku sendiri mengerjakannya.”

) Sahih Bukhari dalam كِتَاب بَدْءِ الْخَلْقِ بَاب صِفَةِ النَّارِ وَأَنَّهَا مَخْلُوقَةٌ)

Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah wahai manusia (terutama diriku) firman Allah Jalla Wa ‘Ala dan hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam ini. Wallahu A’lam.

- wassalam.

- amin albumbuni.

- IKIP 5, Taman Pertanian, Kuantan.

- 2 Jamadil Awal 1430H / 27 April 2009.



07 April 2009

Jual-Beli yang menguntungkan, confirm!

oleh : amin albumbuni

Assalamualaikum semua..

Apa khabar? Saya harap kita masih lagi diberi kekuatan dan kesihatan untuk mengemudi kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini. Awalnya, saya ingin memohon maaf atas ketidakberadaan saya dalam kancah internet ini dalam jangka masa yang agak lama. Artikel pun sudah lama tidak dikirimkan. Di kesempatan masa yang ada ini (di dalam bas Mara Liner, Segamat ke Kuantan), terfikir saya untuk menulis artikel ini, daripada meluangkan masa untuk merehatkan mata, lebih baik saya menghabiskan kudrat bateri laptop ini untuk menghantar satu artikel.

Kali ini, saya ingin mengajak pembaca-pembaca yang budiman menyelami ghayah atau tujuan sebenar dalam kehidupan kita terutamanya sebagai muslim sepenuh masa. Sudah pasti kalau ditanya kepada kita, apakah tujuan manusia dihidupkan? Mesti sahaja telinga kita pernah mendengar jawapan bahawa manusia dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala hanyalah untuk beribadah kepada-Nya, dengan dinyatakan sekali dalil naqli dari firman Allah Jalla Wa ‘Ala :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya : Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (Surah Az-Dzaariyaat : 56)


Allah Subhanahu Wa Taala telah banyak menurunkan nikmat kepada hamba-Nya yang Dia kehendaki. Kalau dilihat kepada contoh di dunia ini, kita dikehendaki membayar bil air, bil telefon, bil eletrik dan lain-lain sebagai bayaran kemudahan yang telah kita gunakan. Begitu juga dengan hubungan kita sebagai makhluk dengan Tuhan makhluk iaitu Allah Rabbul ‘Azeem, Dia telah memberikan kita nikmat menghirup oksigen untuk melangsungkan kehidupan yang mana kalau kita lihat, memang tiada bil oksigen yang sampai ke peti surat kita, tetapi hakikatnya kita perlu menzahirkan rasa syukur kita terhadap-Nya dengan ibadah-ibadah yang berpandukan syariat Islam.

Lanjutan daripada itu, hubungan kita dengan Allah juga boleh dikaitkan dengan satu jual beli, di mana jual beli ini tidak terdapat pada mana-mana syarikat walaupun sehebat mana manusia itu bermuamalat dalam jual beli, namun tidak dapat menjanjikan pulangan yang hebat seperti mana dijanjikan Allah kepada hamba-Nya akhirat kelak. Allah berfirman dalam al-Quran :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (Surah As-Soff : 10)


Nah, apakah kita pernah mendengar dalam akad perniagaan seharian kita di mana ada pihak yang dapat menjamin kita terselamat daripada azab yang pedih apabila membeli produknya, sudah pasti mereka yang agak tersasar sahaja akan melafazkan sedemikian.

Seorang pelukis pasti sangat berbangga dan berbesar hati apabila lukisannya dibeli oleh orang-orang ternama dengan harga yang mahal ataupun sederhana. Itu hanya hubungan antara manusia. Apalah yang kita boleh bayangkan apabila kita ditawarkan perniagaan dengan Tuhan yang mencipta kita sendiri, masya-Allah.

Pasti kita tertanya-tanya bagaimana pula bentuk jual beli yang dijanjikan itu, Allah Azza Wa Jal telah pun berfirman dalam Surah At-Taubah :


إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآَنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (Surah At-Taubah : 111)


Subhanallah, pulangan yang dijanjikan itu sangat lah berharga, menjadi impian bagi setiap muslim dan muslimah. Sering kali kita berdoa agar diberikan syurga di akhirat kelak. Rupa-rupanya Allah Azza Wa Jal telah pun menawarkannya kepada sesiapa yang mematuhi syarat tersebut. Oleh itu, apakah kita sanggup melepaskan peluang ini begitu sahaja, melepaskan tawaran yang tidak dapat dibuat oleh manusia. Yang tidak dapat dijamin oleh manusia.

Bagaimana pula sifat-sifat dan akhlak-akhlak yang dikendaki-Nya untuk mewajarkan kita memperoleh syurga Allah itu. Adakah sudah cukup bagi sesetengah golongan yang mengatakan bahawa mereka boleh membayar dengan harta dan wang mereka untuk memperoleh ganjaran tersebut, oh terlalu dangkal pemikiran begitu.

Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat yang berbentuk perintah dan larangan. Selain itu, terdapat juga ayat yang menerangkan sifat-sifat dan akhlak-akhlak yang dianjurkan syariat dan yang sebaliknya, sama ada melalui pengajaran daripada umat-umat terdahulu mahupun sifat-sifat yang ditonjolkan oleh para Anbiya’ dan rasul.

Suka saya di sini untuk meneruskan ayat Surah At-Taubah di atas, yang mana menunjukkan sifat-sifat yang dikendaki Allah Subhanahu Wa Ta’ala, yang juga merupakan bayaran yang dituntut untuk kita melansungkan perniagaan yang tersangat mendatangkan profit kepada kita. Firman Allah :


التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآَمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat*, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu. (Surah At-Taubah : 112)

* Maksudnya: melawat untuk mencari ilmu pengetahuan atau berjihad. Ada pula yang menafsirkan dengan orang yang berpuasa.


sujud Pictures, Images and Photos


Begitulah wahai teman-teman, sifat-sifat yang perlu ada dalam diri setiap muslim sejati. Banyak lagi perwatakan-perwatakan yang digariskan oleh Islam yang perlu kita tanam dan bajakan ia dalam diri kita. Marilah kita mensyukuri nikmat yang Allah curahkan kepada kita, tidak kufur. Zahirkan rasa syukur kita terhadap-Nya dengan penuh ikhlas dan sejajar dengan katalog bagi seorang muslim iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallahu alaihi Wasallam.


مالك بن أنس - رحمه الله - : بَلَغَهُ ، أَنَّ رسولَ الله - صلى الله عليه وسلم - قال : «تَركْتُ فيكُمْ أَمْرَيْنِ لنْ تَضِلُّوا ما تَمسَّكْتُمْ بهما : كتابَ الله ، وسنّة رسولِهِ». أَخرجه الموطأ.


Maksud matan hadith : Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesekali sesat sekiranya kamu berpegang teguh pada keduanya : Al-Quran dan Sunnah rasul-Nya.



~ wallahu a’lam.

~amin albumbuni

~ Seat no 4D ( Mara Liner , Segamat – Kuantan)

~6 April 2009 / 10 Rabiul Akhir 1430H



05 March 2009

Al-Quran ada jawapannya...

oleh : amin albumbuni

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, di kesempatan yang sempit ini, suka saya berkongsi dengan anda semua dengan satu artikel yang agak ringkas dan padat, insya-Allah Ar-Rahman moga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Di akhir zaman ini, berbagai-bagai dan bermacam-macam jenis fitnah telah timbul. Ada yang mengada-adakan fitnah untuk menjatuhkan musuhnya, ada yang mengada-adakan fitnah untuk mengukuhkan pangkatnya, ada juga yang mengada-adakan fitnah untuk kepuasan nafsu dirinya.

Kita sebagai insan yang lemah memang tidak dapat mengelak daripada diuji kekentalan diri, keteguhan iman dan ketulusan hati kita.Mungkin pernah suara hati ini bertanya, mengapa aku diuji ya? Mengapa seberat ini ujian dikenakan ke atas diri ini? Aduhai!




Oleh itu, mari kita sama-sama menyelongkar dan menghayati ayat-ayat suci Azza Wa Jal ini, sebagai jawapan bagi persoalan dan kekusutan dalam jiwa kita, khas nya kepada mereka yang bertubi-tubi diuji dari seluruh sudut, dalam membawa nur Allah agama Islam dan juga sunnah utusan-Nya Muhammad Sallahu alayhi wasallam.


KENAPA AKU DIUJI? (Al-Ankabut : 2 & 3)

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آَمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.




KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN? (Al-Baqarah : 216)

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.




KENAPA UJIAN SEBERAT INI? (Al-Baqarah : 286)

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.




RASA KECEWA? (Surah Al-Imran : 139)

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.



BAGAIMANA AKU HARUS MENGHADAPINYA? (Surah Al-Imran : 200)(Al-Baqarah : 45)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'.



APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI? (At-Taubah : 111)

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.




KEPADA SIAPA AKU BERHARAP? (At-Taubah : 129)

فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung."


AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI! (Yusuf : 87)

وَلَا تَيْئَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
"dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir"



Alhamdulillah, semoga dengan perkongsian kita ini, kita dapat menambahkan keimanan kita melalui tadabbur ayat-ayat Allah, benar dalam firman-Nya :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آَيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya :Sesungguhnya orang-orang yang beriman[1] ialah mereka yang bila disebut nama Allah[2] gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Al-Anfal : 2)

[1]. Maksudnya: orang yang sempurna imannya.
[2]. Dimaksud dengan disebut nama Allah ialah: menyebut sifat-sifat yang mengagungkan dan memuliakanNya.

Melalui artikel yang ringkas ini juga, semoga kita diberi kekuatan diri dan keteguhan iman dalam mengamalkan keseluruhan intisari ayat-ayat Al-Quran, bi masyiatillah.




Wallahu a'lam. kita jumpa di sana....

>amin al-bumbuni
>perpustakaan Kampus IKIP 5
>8 Rabiul Awal 1430H
>050309