السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. (hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

05 November 2011

Arafah, siapakah geranganmu?

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam..



Arafah, siapakah geranganmu?
Mengapa tidak terkenal seperti Lailatul Qadr?
Apa bezanya kamu dengan Asyura?
Apa personalitimu sehingga menjadi hari istimewa dalam bulan Islam?


Hari ini 9 Zulhijjah 1432H, bermakna jemaah haji yang berada di Makkah akan berkumpul di Arafah untuk menunaikan rukun wuquf, sehinggalah terbenamnya matahari. Berkumpulnya berjuta bilangan manusia dengan pakaian yang serba sama, membayangkan bagaimana detik manusia apabila dibangkitkan semula, seraya berkumpul di padang Mahsyar memperlihatkan amalan masing-masing. Maka apakah yang lebih hebat daripada ini untuk memberi peringatan kepada kita tentang peristiwa tersebut. Seakan-akan masing-masing sedang berkata sesuatu, memohon keampunan sebelum amalan-amalannya dihisab.

Masih teringat pengalaman saya di sana, ketika baru sahaja memanjat Jabal Rahmah dengan bertemankan sahabat-sahabat, tidak lupa juga panas terik yang setia menemani kami tengahari itu. Dalam kesesakan berjuta jemaah, sempat salah seorang yang berasal dari negara X menyeluk beg kecil saya yang diikat melilit pinggang. Namun tangan saya lebih pantas untuk menangkap tangannya yang sedang mencari ‘rezekinya’ barangkali dalam beg itu. Saya memarahinya dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita, dan sudah pastinya dia tidak memahami budi bahasa budaya kita. Allah, bagaimana aku boleh memarahinya, istighfar kembali menahan marah dan merah lantas mendoakannya. Moga dia selepas itu kembali ke khemahnya dan memohon keampunan sementara Arafah masih di sana.

Manusia yang datang dari serata dunia baik tua mahupun muda, pelbagai warganegara dan lain pula warna, tak kenal antara siapa, masing-masing mengambil tempat di Arafah, memanfaatkan masa yang terhad ini memohon keampunan dan mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala. Sudah tentu mereka yang berada di Arafah tidak mahu menjadi serugi-rugi hamba sebaik sahaja menjejakkan kaki di sana. Apatah lagi keterbatasan kita untuk menjangka apakah di sana terdapat peluang kedua untuk kita ke sana.

Suka saya di sini untuk berkongsi biodata Arafah kepada sesiapa yang masih belum mengenalinya. Mungkin ramai yang sudah sinonim dengan Lailatul Qadr yang dijanjikan amalan selama seribu bulan bahkan lebih daripada itu, tetapi adakah semua dapat memilikinya memandangkan dirahsiakan kedatangannya. Tak kurang juga sunnah pada hari Asyura dan lain-lainnya. Nah betapa pemurahnya Allah Jalla Wa Ala dalam memberikan ganjaran kepada hamba-hambaNya yang beramal, bahkan menggandakannya pada hari-hari tertentu. Subhanallah!


Keampuanan dosa, Allah Maha Pengampun.


مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

“Di antara hari yang Allah banyak membebaskan hambaNya daripada api neraka adalah hari Arafah. Dia akan mendekati mereka lalu akan menampakkan keutamaan mereka pada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” |Hadith riwayat Muslim no. 1348, daripada ‘Aisyah Radiyallahu Anha|


Tatkala Allah sendiri bertanya apa yang hambaNya inginkan, apakah kita masih kaku mahu berdiam diri. Lekas, bangkit, berdoalah bersungguh-sungguh, sepenuh hati. Jangan sia-siakan hari ini berlalu pergi tanpa memohon keampunan Ilahi. Di Arafah sana, sudah tentu ia menjadi saksi air mata hamba-hambaNya jatuh membasahi Bumi. Justeru apakah kita berdiam diri, hanya menonton babak terbenamnya matahari?


Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda lagi:


خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah” |HR. Tirmidzi no. 3585|


Maka jelas di sini bahawa hari Arafah merupakan waktu yang mustajab untuk hamba-hamba Allah berdoa memohon sesuatu. Mintalah kepadaNya dengan bersungguh-sungguh dan yakin bahawa Allah akan memperkenankannya, tidak kira bahasa apa yang digunakan, sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Memahami akan hambaNya. Kecuali mereka yang berdoa dalam hati yang lalai.


Jabal Rahmaa |Hajj 1431H|


Puasa Arafah, 2 tahun pengampunan dosa.

Dan lagi, ya, ini pula pulangan yang Allah Azza Wa Jal tawarkan kepada hamba-hambaNya yang berpuasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Apa lagi yang lebih indah dimahukan oleh seorang hamba, ia lebih jauh berharga daripada ditawarkan mendapat bonus gaji 2 tahun, yang belum tentu ke mana wang itu akan dibelanjakan bukan? Ganjaran ini sepertimana yang disabdakan Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam dari Abi Qatadah:


صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ


Puasa Arafah, aku berharap agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya manakala puasa hari Asyura (10 Muharram) aku berharap agar Allah menghapuskan dosa setahun sebelumnya." |Hadith riwayat Muslim no. 1162|


Mengikut sifir matematiknya, dapat disimpulkan daripada hadith di atas bahawa puasa hari Arafah lebih utama daripada puasa hari Asyura jika ditimbangtara mengikut ganjarannya. Walaubagaimanapun di sana terdapat fadhilat pada hari Asyura memandangkan Nabi Sallallahu alayhi wa sallam juga berpuasa pada hari tersebut, yang mana sejak daripada amalan Nabi Musa Alayhi as-Salam lagi, bahkan ahlul Kitab mahupun arab Quraisy pada zaman jahiliyyah juga berpuasa pada hari Asyura tersebut. Tetapi sunnah puasa Arafah yang asalnya dari Nabi terulung, begitulah ganjarannya yang disebutkan hadith di atas tadi.


عَن بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَالْخَمِيسَ


Beberapa isteri Nabi Sallalahu ‘alayhi wa sallam berkata: Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam sering berpuasa pada sembilan Zulhijjah, hari Asyura, dan tiga hari setiap bulan, Isnin awal setiap bulan dan hari Khamis. |Sunan Abi Daud no. 2085|


Namun begitu, keutamaan puasa Arafah ini diberikan kepada mereka yang tidak menunaikan haji pada waktu tersebut. Begitulah Allah Subhanahu Wa Taala mempelbagaikan bentuk ibadah untuk hamba-hambaNya berasa selesa dalam membuktikan ketaatan kepadaNya. Tetapi tidak pula ditegah bagi mereka yang menunaikan haji untuk berbuat demikian. Apapun, amalan Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa sallam adalah sebaik-baik amalan untuk dijadikan ikutan. Hadith-hadith di bawah ini sudah cukup untuk menunjukkan keutamaan amalan yang sendiri dilakukan oleh Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam dan para sahabat radiyallahu Anhum.


حَجَجْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِى بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ. وَأَنَا لاَ أَصُومُهُ وَلاَ آمُرُ بِهِ وَلاَ أَنْهَى عَنْهُ

“Aku pernah berhaji bersama Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam dan beliau tidak menunaikan puasa pada hari Arafah. Aku pun pernah berhaji bersama Abu Bakr, beliau pun tidak berpuasa ketika itu. Begitu pula dengan ‘Utsman, beliau tidak berpuasa ketika itu. Aku pun tidak mengerjakan puasa Arafah ketika itu. Aku pun tidak memerintahkan orang lain untuk melakukannya. Aku pun tidak melarang jika ada yang melakukannya.”|Hadith riwayat Tirmidzi no. 751|


أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- أَفْطَرَ بِعَرَفَةَ وَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ أُمُّ الْفَضْلِ بِلَبَنٍ فَشَرِبَ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak berpuasa ketika di Arafah. Ketika itu beliau dihantarkan minuman susu, beliau pun meminumnya.”|Hadith riwayat Tirmidzi no. 750|


Jordan Camp, Arafaa |Hajj 1431H|


Alhamdullillah, saya diberi kesempatan untuk menembak doa di padang Arafah pada tahun lepas (1431H), dan thumma alhamdulillah masih diberi kesempatan pada tahun ini (1432H) untuk melakukan sunnah-sunnah pada hari Arafah di tanah air sendiri. Sama-samalah kita, bukanlah dihadkan pada puasa dan berdoa sahaja, malah membaca al-Quran, berzikir, amar ma’ruf nahi mungkar, dan lain-lain juga adalah sunnah yang tidak boleh diketepikan. Moga semua amalan kita diterima Allah, Inshalla.


Wallahu a’alam. Wassalam.


Kita jumpa di sana..
Teratak Bumbun, Segamat.
Johor, Malaysia |09 Zulhijjah 1432H|



2 comments:

azlanshah said...

Suka aku baca tulisan kau,menenangkan jiwa..banyakkan berdoa,doakan kita semua dikumpulkan semula di jannatul firdausil a'la bersama Rasulullah SAW

Al-Bumbuni said...

di setiap akhir kataku, selalu kutitipkan kata..

kita jumpa di sana. Inshalla.

Ameen. أخوة لذة الحياة